Anda di sini

HSL Samarahan Marathon 2024: Hanya tinggal 300 slot untuk pendaftaran

Advertisement
Minos (empat kiri), Yu Ji (tiga kanan) serta yang lain menunjukkan poster acara HSL Samarahan Marathon 2024 pada sidang media hari ini.
Minos (empat kiri), Yu Ji (tiga kanan) serta yang lain menunjukkan poster acara HSL Samarahan Marathon 2024 pada sidang media hari ini.

KUCHING: HSL Samarahan Marathon 2024 menerima penyertaan memberangsangkan daripada pelari tempatan dan luar dengan hanya 300 slot masih terbuka untuk pendaftaran. 

Acara maraton julung kalinya itu akan berlangsung pada 11 dan 12 Mei depan dan merupakan anjuran bersama Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan Kumpulan Hock Seng Lee (HSL). 

Pengerusi MPKS Dato Peter Minos berkata, acara itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, malah dapat mempromosikan Samarahan kepada pengunjung luar. 

"Bagi pihak majlis, kami berterima kasih kepada HSL selaku penaja utama yang memungkinkan kejayaan dan kelancaran acara ini," ujarnya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara HSL di Kota Samarahan dekat sini, hari ini. 

Hadir sama Setiausaha MPKS Gustian Durani, ahli MPKS Kuek Khiong Kuant dan Dato Sim Kiang Chiok serta rakan penganjur lain. 

Sementara itu, penganjur bersama Yu Ji berkata lima kategori dipertandingkan dalam acara tersebut iaitu maraton penuh 42 kilometer (km), separa maraton 21km, 10km, 6km dan 3km. 

Menurutnya, jumlah keseluruhan hadiah wang tunai ditawarkan RM58,000 bagi acara 42km, 21km dan 10km.

Manakala bagi kategori 6km dan 3km katanya, hadiah wang tunai ditawarkan bagi kostum terbaik yang akan dihakimi juri jemputan termasuk pempengaruh popular, Global Gibbon dan ahli pasukan dari Wanka Travel. 

Masa pelepasan katanya, adalah pada jam 6.15 petang dan 7.15 malam bagi kategori 6km dan 3km iaitu pada 11 Mei bermula dari Menara HSL, La Promenade Mall di Kota Samarahan. 

Manakala kategori 42km, 21km dan 10km akan dilepaskan pada 12 Mei masing-masing pada jam 1 pagi, 4 pagi dan 5.30 pagi, jelasnya.

Pelari elit tempatan seperti Andy Yeo dan Sally Yap antara yang turut serta dalam maraton ini termasuk peserta dari Singapura, Brunei dan Afrika, katanya. 

Pek larian bagi diambil bermula 9 Mei dan untuk maklumat lanjut boleh layari lapromenademall.com.my atau cari @lapromenademall, #samarahan,#laprorun di sosial media. 
 

  • oleh
  • Advertisement