Anda di sini

LTAK sesak, ratusan penumpang terkandas

Advertisement
Sekitar suasana LTAK yang sesak hari ini selepas beberapa penerbangan dibatalkan susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia. Para penumpang terjejas dilihat beratur untuk menguruskan penukaran tiket masing-masing. – Gambar Roystein Emmor
Sekitar suasana LTAK yang sesak hari ini selepas beberapa penerbangan dibatalkan susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia. Para penumpang terjejas dilihat beratur untuk menguruskan penukaran tiket masing-masing. – Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) mengalami kesesakan hari ini apabila ratusan penumpang terkandas susulan pembatalan penerbangan ke pelbagai destinasi akibat letusan gunung berapi Gunung Ruang, Indonesia. 

Setakat jam 2 petang hari ini, sebanyak 18 penerbangan telah dibatalkan oleh syarikat penerbangan utama seperti Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air dengan hanya beberapa penerbangan AirAsia dan Brunei Airlines dilihat terbang keluar dari LTAK namun kesemuanya tidak merentasi Laut China Selatan.

Sebanyak 17 lagi penerbangan yang dijangka tiba di KIA juga dibatalkan setakat 2 petang hari ini.

Sekitar suasana LTAK yang sesak hari ini selepas beberapa penerbangan dibatalkan susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia. Para penumpang terjejas dilihat beratur untuk menguruskan penukaran tiket masing-masing. – Gambar Roystein Emmor
Sekitar suasana LTAK yang sesak hari ini selepas beberapa penerbangan dibatalkan susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia. Para penumpang terjejas dilihat beratur untuk menguruskan penukaran tiket masing-masing. – Gambar Roystein Emmor

Tinjauan wartawan mendapati rata-rata daripada penumpang yang terjejas di LTAK meluahkan rasa kesal dan gelisah atas kesukaran itu, sementara pihak berkuasa lapangan terbang berusaha menangani situasi dengan sebaik mungkin.

Salah seorang penumpang terjejas, Adenan Usop berkata, beliau terpaksa menangguhkan penerbangannya dari Kuching ke Johor hari ini kepada 23 April berikutan tiada kekosongan buat masa ini. 

Situasi tersebut katanya, telah menjejaskan perancangan dengan bilangan cuti beliau yang tinggal sedikit.

"Saya berasa kecewa kerana esok (saya) sudah mula bekerja. Cuti saya berbaki tiga hari sahaja lagi kerana semuanya telah digunakan untuk menyambut Hari Raya Aildifitri. Apabila keadaan ini berlaku, saya terpaksa memohon cuti lagi," katanya.

Bagi artis tatu, Nicholas Jenta, 23, beliau sudah pun menaiki penerbangan dijadualkan ke Kuala Lumpur apabila kakitangan syarikat penerbangan memaklumkan penumpang perlu kembali semula ke ruang ketibaan LTAK kerana penerbangan telah dibatalkan.

Adenan Usop. – Gambar Roystein Emmor
Adenan Usop. – Gambar Roystein Emmor

Menurut Jenta, beliau hendak menemui pelanggannya di Kuala Lumpur dan kini tidak mempunyai pilihan selain menangguhkan pertemuan itu.

"Semua rancangan saya perlu disemak semula dan saya berasa kesal kerana terpaksa menangguhkan janji temu bersama pelanggan saya berikutan keadaan yang tidak diduga ini," kata Jenta.

Walaupun terdapat gangguan pada rancangan perjalanan, tiada 'drama' atau kekecohan berlaku dalam kalangan penumpang terkandas yang dilihat pasrah dengan keadaan itu, selain sabar menunggu mengenai maklumat terkini daripada pegawai syarikat penerbangan.

Di sebalik tabir, pejabat syarikat penerbangan yang terjejas dilihat bekerja tanpa jemu untuk membantu penumpang dan menyediakan mereka dengan pengaturan alternatif.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong menggesa pihak pengurusan LTAK untuk mengambil inisiatif dalam menyalurkan maklumat kepada para penumpang mengenai sebarang pembatalan atau perubahan membabitkan penerbangan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. 

Yong yang ditemui di LTAK dan turut terjejas dengan pembatalan penerbangan hari ini berkata, beliau telah berada di LTAK lebih kurang 10 minit namun tidak mendengar sebarang pengumuman daripada pihak pengurusan.

Nicholas Jenta. – Gambar Roystein Emmor
Nicholas Jenta. – Gambar Roystein Emmor

Orang ramai katanya, tertanya-tanya dan cuba mengetahui perkara yang berlaku, selain berasa hairan kerana tiada sebarang pengumuman dibuat.

"Justeru, saya berharap agar pihak LTAK mengumumkan (mengenai sebarang perubahan penerbangan) daripada terus berdiam diri.

"Pihak pengurusan boleh meneliti perkara ini dan membuat pengumuman lebih kerap untuk pengetahuan orang ramai, apatah lagi apabila mengambil kira bahawa setiap penumpang mungkin tiba di lapangan terbang pada masa yang berbeza," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, setakat jam 4 petang hari ini, AirAsia mengumumkan bahawa mereka telah memulihkan 19 penerbangan antara Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Singapura untuk 18 April 2024 dan semua penerbangan tersebut akan terbang mulai 7 malam hari ini.

Penerbangan ke Sabah dan Miri bagaimanapun tiada dalam senarai penerbangan yang dikembalikan semula oleh AirAsia.

Manakala, Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata pihaknya membatalkan sejumlah lapan penerbangan dari/ke Sarawak pada 18 April 2024, membabitkan perjalanan dua hala masing-masing dari Kuala Lumpur ke Kuching (empat penerbangan), Kuala Lumpur ke Miri dan Kuala Lumpur ke Bintulu.

Untuk operasi Firefly, kebanyakan penerbangan dijadualkan semula dan hanya satu penerbangan dibatalkan iaitu Kuching-Pulau Pinang. 
 

Advertisement