Anda di sini

BEST kerjasama terbaik PBS, STAR hadapi Pilihan Raya

Advertisement
 Majlis menandatangani MoU antara PBS dan STAR  disempurnakan oleh Joachim (duduk, dua kiri), Julita (duduk, kiri) serta Jeffrey (duduk, dua kanan) dan Edward.
BEST: Majlis menandatangani MoU antara PBS dan STAR disempurnakan oleh Joachim (duduk, dua kiri), Julita (duduk, kiri) serta Jeffrey (duduk, dua kanan) dan Edward.

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) kini secara rasminya bekerjasama dan dikenali sebagai BERSATU-SOLIDARITI (BEST).

Kedua-dua parti berkenaan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pada upacara yang diadakan di sini, kelmarin.

MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam yang mewakili Presiden Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, bersama Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki bagi pihak PBS. 

Manakala, Presiden STARSABAH, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung STARSABAH, Datuk Edward Linggu bagi pihak STARSABAH.

MoU berkenaan disaksikan oleh Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

BEST berteraskan kepada lima aspek utama iaitu mengukuhkan kolaborasi dan kerjasama politik, bekerjasama dan berkolaborasi dalam menyelesaikan isu-isu utama Sabah, penubuhan Majlis Pimpinan Bersama (JLC) antara PBS dan STARSABAH, perkongsian maklumat dan latihan kepimpinan serta, penubuhan jawatankuasa strategik.

Kelima-lima perkara itu telah dibincangkan dan diperincikan dalam MoU yang ditandatangani.

Joachim dan Jeffrey ketika ditemui berkata, mereka sependapat bahawa BEST akan memperkukuhkan bukan sahaja kedudukan kedua-dua parti tetapi juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“BEST bukan satu ancaman kepada rakan-rakan lain dalam GRS tetapi memperkukuhkan kedudukan GRS terutama sekali dalam menghadapi Pilihan Raya  akan datang.

“Bila kita kuatkan GRS, GRS akan kuatkan kita,” kata mereka.

Jeffrey menjelaskan bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS turut memberikan sokongan 100 peratus kepada kerjasama ini.

Joachim berkata, pada asasnya, BEST bertujuan mengukuhkan kerjasama politik antara PBS dan STARSABAH. 

“Itu tujuan utama sebenarnya. Selain itu, kita juga telah bersetuju untuk menyelesaikan isu-isu utama untuk kepentingan rakyat Sabah.

“Saya ingin menegaskan bahawa matlamat kami pada asasnya adalah juga untuk kemenangan GRS secara keseluruhan,” katanya.

Menerusi jawatankuasa khas yang diwujudkan, BEST sedang mengkaji kerusi-kerusi baharu yang akan ditandingi pada pilihan raya akan datang.

“Kita akan pertahankan 13 kerusi ini, yang lain-lain kita boleh bincang,” kata Joachim.

Sementara itu, Pairin berkata, MoU itu melambangkan satu persimpangan jalan dan menunjukkan kesedaran tentang perlunya bersatu demi Sabah dan masa depannya.

“Itulah sebabnya saya sangat gembira. Saya ingin menegaskan bahawa ini adalah langkah pertama dan terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan selepas ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement