Anda di sini

Gagal tunjuk kad pengenalan, lelaki dipenjara setelah gagal bayar denda

Advertisement
 

SIBU: Gara-gara gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diperiksa, seorang lelaki dikenakan hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Jakaria Rabai'e, 45, bagaimanapun gagal membayar denda tersebut dan diperintah menjalani hukuman penjara 14 hari.

Dia terdahulu didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan ketika diperiksa di sebuah rumah tumpangan di Jalan Tan Sri pada 5 April 2024, kira-kira jam 4.30 petang.

Sehubungan itu, tertuduh dihukum mengikut Peraturan 25(1)(n), Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga seorang pegawai polis telah menahan seorang lelaki di sebuah rumah tumpangan di Jalan Tan Sri untuk membantu siasatan lanjut.

Lelaki terbabit yang dikenali sebagai tertuduh kemudian dibawa ke balai polis untuk disiasat berhubung satu laporan. Bagaimanapun, tertuduh gagal mengemukakan kad pengenalan kepada pihak polis apabila diminta berbuat demikian.

Dalam kes berasingan, seorang pemandu dikenakan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 atau sebulan penjara atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Mahkamah turut memerintahkan agar lesen memandu tertuduh, Sembilan Jumpap, 28, digantung selama dua tahun setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Sembilan didakwa memandu sebuah kereta di bawah pengaruh alkohol di Jalan Channel pada 14 Disember 2023, kira-kira jam 12.13 tengah malam.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45A(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Fakta kes menyatakan pada hari kejadian, anggota polis trafik telah menahan sebuah kereta yang dipandu oleh tertuduh dalam satu sekatan jalan raya.

Ketika diperiksa oleh seorang pegawai polis, anggota terbabit dapat menghidu bau alkohol daripada penafasan tertuduh.

Apabila diuji dengan alat SD-2, menunjukkan tertuduh positif alkohol dengan bacaan 224mg/100ml.

Ujian lanjut menggunakan alat EBA II di Balai Polis Trafik Sibu mencatatkan bacaan alkohol dalam darah 159mg/100ml, melebihi had ditetapkan iaitu 50mg alkohol dalam 100ml darah.

  • oleh
  • Advertisement