Anda di sini

Individu alami masalah kesihatan mental perlu sokongan masyarakat: Dr Annuar

Advertisement
Dr Annuar (tiga kanan) secara simbolik menyerahkan bantal kepada Dr Nanthakumar (tiga kiri) sambil disaksikan Lau (empat kiri) serta yang lain.
Dr Annuar (tiga kanan) secara simbolik menyerahkan bantal kepada Dr Nanthakumar (tiga kiri) sambil disaksikan Lau (empat kiri) serta yang lain.

SIBU: Masyarakat digesa memberi sokongan kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan mental bagi membantu meringankan beban pekerja penjagaan kesihatan di Hospital Sibu.

Timbalan Menteri I Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa'ee berkata, pakar psikiatri, pegawai perubatan dan jururawat kini sedang menangani peningkatan jumlah pesakit di wad psikiatri hospital itu.

"Saya diberitahu ketika ini Hospital Sibu mempunyai enam pakar psikiatri.

"Dan berdasarkan apa yang saya faham (daripada Ketua Psikiatri Hospital Sibu Dr Wong Siong Teck), mereka memerlukan dua lagi (pakar psikiatri), memandangkan beban kerja yang tinggi sekarang.

"Selain itu, pakar psikiatri di Hospital Sibu juga melakukan perjalanan ke hospital luar bandar seperti di Kapit, Kanowit, kecuali Sarikei yang mempunyai pakar psikiatri sendiri dan Mukah yang dikendalikan oleh pakar psikiatri dari Hospital Bintulu.

"Selain itu, keberadaan pegawai perubatan agak tidak tetap kerana mereka boleh melanjutkan pelajaran atau dihantar ke tempat lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri di Wad Psikiatri Hospital Sibu anjuran Lembaga Pelawat Psikiatri Hospital Sibu, hari ini.

Memberi nasihat kepada orang ramai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, "Orang ramai juga perlu memainkan peranan mereka dengan tidak memperlekeh individu yang mengalami masalah mental kerana ini boleh menghalang mereka daripada mendapatkan bantuan.

"Adalah penting bagi mereka untuk memahami bahawa penyakit ini memerlukan sokongan emosi dan keluarga," katanya.

Beliau menegaskan kritikan akan menghalang orang yang mengalami penyakit berkaitan mental daripada mendapatkan bantuan dan perkhidmatan, selain menjejaskan intervensi.

Sementara itu, Dr Annuar menyumbangkan 40 bantal kepada wad psikiatri pada majlis tersebut.

Turut hadir iaalah Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu dan Pengerusi Lembaga Pelawat Wad Psikiatri Hospital Sibu Peter Lau.
 

  • oleh
  • Advertisement