Anda di sini

Kerajaan perlu tumpu pembangunan Tawau sebagai bandar sempadan

Advertisement
 Liew (dua kiri) menyerahkan cendera kenangan kepada Heni.
PENGHARGAAN: Liew (dua kiri) menyerahkan cendera kenangan kepada Heni.

TAWAU: Kerajaan Pusat diminta memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan di daerah ini susulan perpindahan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Brig Jen (B) Tan Sri Liew Yun Fah berkata, Tawau berpotensi besar menjadi antara penyumbang ekonomi terbaik kepada negara dan Sabah khususnya.

Katanya, ia berikutan kedudukan daerah ini yang strategik sebagai bandar sempadan antara ibu negara Indonesia dengan Malaysia.

“Sudah tiba masanya kita memperkasa peluang ekonomi termasuk berkaitan pelancongan dengan negara jiran Indonesia.

“Kerajaan Pusat perlu membangunkan Tawau khususnya kawasan Pulau Sebatik dan Serudong sebagai pintu masuk utama yang bakal menghubungkan Indonesia dan Malaysia,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, Heni Hamidah di kediaman Liew, di sini.

Dalam pada itu, Liew turut mengucapkan terima kasih kepada Heni kerana sentiasa berusaha melaksanakan program pembangunan ekonomi bersama antara Malaysia-Indonesia, sepanjang menerajui KRI di sini.

“Saya berharap agar usaha yang dilakukan Ibu Heni dan KRI di sini, dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha mewujudkan kerjasama dan potensi ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya.

 Heni menyampaikan cendera kenangan kepada Liew dalam kunjungan hormatnya.
KUNJUNGAN: Heni menyampaikan cendera kenangan kepada Liew dalam kunjungan hormatnya.

Sementara itu, Heni ketika ditemui berkata, jalinan ketersambungan antara Indonesia dan Tawau perlu dipertingkat selepas mengambil kira saling kebergantungan antara kedua-dua pihak di sini.

Katanya, sepanjang berada lebih tiga tahun di Tawau, dia berharap agar laluan perhubungan antara Indonesia-Tawau diperluas membabitkan udara dan darat berbanding hanya laluan perairan sedia ada.

“Ini kerana masyarakat di kedua-dua lokasi adalah saling bergantung antara satu sama lain sekali gus dapat menjana potensi ekonomi yang baik untuk keduanya.

“Justeru saya berharap agar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) sama ada di Serudong (Kalabakan) Simanggaris (Indonesia) mahupun di Pulau Sebatik dapat dibangunkan bagi memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement