Anda di sini

Letusan Gunung Ruang: Kerajaan Sarawak perlu nasihat pakar 

Advertisement
Abang Johari ketika ditemui media selepas menghadiri majlis rumah terbuka tersebut.-Gambar Chimon Upon
Abang Johari ketika ditemui media selepas menghadiri majlis rumah terbuka tersebut.-Gambar Chimon Upon

KUCHING: Nasihat pakar diperlukan oleh Kerajaan Sarawak ketika berhadapan dengan impak letusan Gunung Ruang, Indonesia yang berkemungkinan boleh menjejaskan ruang udara, di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia berikutan impak asap akibat letupan itu memberi kesan terutamanya sektor penerbangan di Sarawak.

Menurutnya, tindakan awal akan diambil sekiranya asap abu gunung berapi tersebut memasuki ruang udara di beberapa bahagian di negeri ini.

"Sekarang ini, Kota Kinabalu terkesan kerana kita melihat bagaimana arah tiupan angin. 

"Saya pun tidak dapat bagi komen tentang perkara itu, sampai ia berlaku barulah kita tahu, tapi kita lihat dulu macam mana dan tunggu nasihat daripada pakar," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi di Taman Gaya, Jalan Sultan Tengah di sini, malam tadi.

Jelasnya, kesan letusan itu telah menjejaskan sektor penerbangan keluar dan masuk di Sarawak.

"Sebenarnya kita khuatir akan zarah letusan berkenaan, sebab itu kapal terbang tidak dapat diterbangkan disebabkan zarah-zarah tersebut," ujarnya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memberitahu berkemungkinan asap letusan Gunung Ruang di Sulawesi Utara itu sampai ke sebahagian kecil ruangan udara Sarawak melalui tiupan angin.
 

  • oleh
  • Advertisement