Anda di sini

Salah guna dadah, juruelektrik didenda dan diawasi dua tahun

Advertisement
 

KUCHING: Seorang juruelektrik didenda RM1,600 atau dua bulan penjara di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terlibat dalam penyalahgunaan dadah. 

Vincent Cox, 45, didakwa menggunakan dadah berbahaya iaitu Amphetamine dan Methamphetamine sekitar jam 11.05 malam bertempat di Balai Polis Gita, Jalan Matang di sini pada 24 Januari 2013.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan tertuduh untuk menjalani dua tahun pengawasan oleh pihak polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 15 (1) akta sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 38B akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau hukuman penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Linda Andrew Mang, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement