Anda di sini

Scoot laraskan jadual penerbangan Singapura-Sibu, lebih mesra: Wong

Advertisement
Jadual baharu penerbangan Singapura-Sibu yang dikeluarkan oleh Scoot menerusi laman webnya dikongsikan oleh Wong dengan pemberita, hari ini.
Jadual baharu penerbangan Singapura-Sibu yang dikeluarkan oleh Scoot menerusi laman webnya dikongsikan oleh Wong dengan pemberita, hari ini.

SIBU: Syarikat penerbangan Scoot telah melaraskan jadual penerbangannya ke sini.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong Wong Ching Yong berkata, sebelum ini penerbangan Scoot pertama Singapura-Sibu yang pada asalnya dijadualkan berlepas pada jam 5.25 pagi 5 Jun, kini telah ditukar kepada jam 12.35 tengah hari.

"Ini satu berita gembira bagi kita di Sibu apabila Scoot telah melaraskan jadual penerbangannya setelah kita meminta mereka mengkaji jadual asal sebelum ini," katanya ketika berkongsi dengan pemberita mengenai pelarasan jadual baharu itu kepada pemberita, hari ini.

Justeru, beliau berterima kasih kepada Scoot atas pengendalian jadual penerbangan yang fleksibel, terutama atas kesediaan mereka mendengar keperluan penduduk Sibu.
Scoot telah mengumumkan pada awal Mac tahun ini bahawa ia akan membuka laluan baharu dari Singapura-Sibu tiga kali seminggu bermula 5 Jun. 

Berdasarkan masa berlepas asal dari Singapura pada jam 5.25 pagi, Wong percaya masa penerbangan itu 'tidak mesra' dan menyusahkan terutamanya warga emas dan kanak-kanak, maka secara terbuka beliau meminta pihak Scoot membuat pelarasan pada 10 Mac lalu.

"Jika penerbangan berlepas pada jam 5.25 pagi, bermakna penumpang perlu tiba di Lapangan Terbang Changi pada sekitar jam 3 pagi untuk menunggu. 

"Oleh itu, penumpang mungkin perlu bermalam di hotel berhampiran lapangan terbang dan dikenakan bayaran penginapan tambahan sebanyak ratusan ringgit.

"Sama ada untuk penduduk tempatan yang pulang ke tanah air selepas melakukan perjalanan dari Sibu ke Singapura, atau pelancong yang datang kepada kami dari kawasan tempatan, masa penerbangan yang 'lebih mesra' adalah perlu. 

"Saya gembira kerana Scoot telah mendengar suara kami," ujarnya.

Wong berharap masa penerbangan baharu itu akan ditetapkan secara kekal dan beliau juga percaya perubahan waktu berlepas kepada jam 12.35 tengah hari akan membawa jumlah penumpang yang lebih stabil ke Sibu.

Pada masa sama, beliau berharap melalui penerbangan terus Scoot dari Singapura ke Sibu, ia bukan sahaja memudahkan pengembara Sibu pulang dan memacu pembangunan pelancongan tempatan, tetapi juga meningkatkan pertukaran dan kerjasama antara Singapura dan Sibu dalam perdagangan, pendidikan, penjagaan perubatan, budaya dan sebagainya.

Di samping itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Presiden SUPP yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin atas keprihatinan beliau terhadap laluan penerbangan terus dari Singapura ke Sibu, termasuk usaha bersungguh-sungguh dalam keseluruhan komunikasi, rundingan dan pengaturan semasa proses dengan Scoot.
 

  • oleh
  • Advertisement