Anda di sini

Sektor pengeluaran makanan perlukan rantaian industri komersial: Dr Rundi 

Advertisement
Para penerima bantuan geran MRP merakam gambar bersama Dr Rundi (duduk tengah) dan tetamu lainnya.
Para penerima bantuan geran MRP merakam gambar bersama Dr Rundi (duduk tengah) dan tetamu lainnya.

BINTULU: Sektor pengeluaran makanan memerlukan satu rantaian industri komersial yang mampu memberi keuntungan kepada para petani dan berdaya maju.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, untuk tujuan itu mereka yang terlibat dalam sektor terbabit perlu bekerja sebagai petani sepenuh masa.

"Kita perlukan e-Tani daripada Jabatan Pertanian bagi mengenal pasti mereka yang benar-benar terlibat dalam sektor pertanian bagi memudahkan penyaluran bantuan yang bersesuaian dengan bidang diceburi dan bukan untuk kegunaan lain, contohnya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

"Dalam penanaman nanas misalnya, keutamaan bantuan boleh diberikan dalam bentuk tanaman tersebut," ujarnya semasa menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena di Pejabat Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu, hari ini.

Dr Rundi berkata, kerajaan memfokuskan kepada tanaman durian, pisang, kelapa dan sebagainya bertujuan agar para petani kecil ini dapat mengubah kaedah pertanian kepada cara baharu dan rantaian bekalan tidak terhenti bermula dari industri hiliran dan huluan sehingga kepada rantaian bekalan. 

"Kita ingin mewujudkan industri sama seperti kelapa sawit. Kenapa kelapa sawit terus bertahan pada hari ini? Sebab adanya industri, adanya sektor huluan dan hilirannya, penyelidikan, bekalan dan sebagainya.

"Ini yang ingin saya kongsikan dalam persidangan keterjaminan makanan antarabangsa akan datang. Asal-usul kita adalah petani, kita ada banyak tanah, rajin bekerja tetapi hasilnya kurang dan kita ingin mengambil contoh petani di Vietnam, Thailand dan beberapa negara yang berbeza daripada negara kita.

"Bahkan di Australia petaninya yang berkembang maju dianggap sebagai petani kaya.

"Justeru, kita perlu melihat nilai dan apa yang boleh kita lakukan dalam pengeluaran makanan serta mengubah minda sama ada kita masih kekal mengguna cara lama dalam subsistem pertanian atau sebaliknya.

"Kita tidak boleh terikut-ikut dengan yang lain sebaliknya perlu mengkaji kesesuaian tanah yang ada, contohnya dalam tanaman nanas, kelapa, dabai, penternakan ikan empurau mahupun lada premium dengan mengguna teknologi baharu yang inovatif dan kreatif," jelas ADUN Kemena itu.

Terdahulu sebanyak RM505,960 geran diberikan kepada 23 penerima MRP fasa satu DUN Kemena.

Keseluruhannya hanya RM455,960 diserahkan kepada 22 penerima hari ini merangkumi 10 penerima di kawasan Sebauh (RM212,360) dan 12 penerima adalah dari Suai Niah berjumlah RM243,600.

Penerimanya terdiri kelab-kelab jabatan, kampung, persatuan, pejabat pendidikan, sekolah, pejabat daerah dan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, Pegawai Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu Jackson Nanta Bernabas Baie, Pegawai Jabatan Pertanian Bahagian Miri Hafriz Razak, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi dan Temenggung Limin Anai.
 

Advertisement