Anda di sini

Suasana di LTAK terkawal, penumpang tampak tenang

Advertisement
Penumpang menyemak jadual penerbangan masing-masing di LTAK. - Gambar Chimon Upon
Penumpang menyemak jadual penerbangan masing-masing di LTAK. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) terkawal hari ini susulan letusan Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia. 

Meskipun syarikat penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines masing-masing mengubah dan membatalkan penerbangan, namun penumpang yang berada di LTAK kelihatan tenang. 

Ini kerana penumpang telah dimaklumkan awal oleh syarikat penerbangan mengenai perubahan dan pembatalan penerbangan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui nombor telefon yang didaftarkan. 

Rata-rata penumpang yang ditemui menyifatkan keadaan itu adalah di luar kawalan pihak penerbangan demi keselamatan penumpang dan kru. 

Sementara itu, Malaysia Airlines dalam kemas kini di media sosialnya hari ini memaklumkan telah menyambung semula penerbangan ke dan dari Sabah, Sarawak dan Labuan secara berperingkat sejak petang Khamis.

Suasana di LTAK terkawal meskipun terdapat pembatalan penerbangan susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia. - Gambar Chimon Upon
Suasana di LTAK terkawal meskipun terdapat pembatalan penerbangan susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia. - Gambar Chimon Upon

Syarikat penerbangan itu berkata, perkembangan positif itu adalah susulan pembatalan penerbangan yang perlu dilaksanakan akibat letusan Gunung Ruang.

"Sementara syarikat penerbangan dalam usaha untuk memulihkan operasi biasa secepat mungkin, beberapa penerbangan Malaysia Airlines yang dijadualkan hari ini telah dibatalkan dengan mempertimbangkan keadaan cuaca dan keselamatan operasi," katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, penerbangan AirAsia antara Kuala Lumpur dan Sabah serta Sarawak juga masih terjejas hari ini susulan letusan gunung berapi tersebut. 

Syarikat tambang rendah itu dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada penumpang terjejas. 

Suasana di LTAK terkawal meskipun terdapat pembatalan penerbangan susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia. - Gambar Chimon Upon
Suasana di LTAK terkawal meskipun terdapat pembatalan penerbangan susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia. - Gambar Chimon Upon

"Penumpang AirAsia yang pergi ke dan dari destinasi terjejas amat digalakkan untuk menyemak status penerbangan terkini mereka di laman web airasia.com/flightstatus," katanya.  
 

  • oleh
  • Advertisement