Anda di sini

10 terbunuh akibat letupan periuk api di Nigeria

Advertisement
 

KANO: Sebuah kenderaan membawa pedagang tempatan telah melanggar periuk api buatan sendiri, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan 23 yang lain di sebuah kawasan di timur laut Nigeria yang dibelenggu konflik pelampau yang berpanjangan, menurut tiga sumber separa tentera kelmarin.

Konvoi terdiri daripada peladang dan nelayan meninggalkan pekan sempadan Monguno pada Rabu dalam perjalanan ke Lake Chad apabila kenderaan rendah mereka melanggar periuk api dipercayai telah diletakkan oleh pejuang Negara Islam Wilayah Afrika Barat (ISWAP) yang dikaitkan dengan IS, kata sumber.

Pihak militan telah dihalau keluar dari wilayah yang mereka kawal  beberapa tahun lepas di Borno di timur laut Nigeria namun mereka masih melakukan serangan hendap dan menyasarkan konvoi yang bergerak meninggalkan pekan yang dilindungi oleh tentera sempadan.

“Kenderaan itu telah melanggar bahan letupan yang ditanam di jalan raya berdebu sekitar kem Mosquito, tiga kilometer di luar Monguno kira-kira jam 9.30 pagi waktu tempatan, menyebabkan satu letupan yang menghancurkan kenderaan tersebut,” kata Musa Kaka, anggota kumpulan militia antipelampau yang membantu pihak tentera.

“Kami menemui 10 mayat dan 23 mangsa yang tercedera di tempat kejadian,” jelas Kaka.

Mangsa yang maut telah dikebumikan pada Rabu sementara mangsa yang tercedera dibawa ke hospital di pekan, kata Bello Adamu, seorang lagi anggota militia antipelampau.

Ketua militia, Umar Ari, turut mengesahkan angka kematian itu. 

Tentera Nigeria tidak memberikan kenyataan segera mengenai insiden itu. — AFP


 

Advertisement