Anda di sini

Anggota bomba tangani kebakaran di Copenhagen buat hari ketiga

Advertisement
Anggota bomba menyemburkan air pada rangka bangunan bekas bursa saham yang musnah dalam kebakaran di Copenhagen pada Rabu lepas. — Gambar AFP
Anggota bomba menyemburkan air pada rangka bangunan bekas bursa saham yang musnah dalam kebakaran di Copenhagen pada Rabu lepas. — Gambar AFP

COPENHAGEN: Bahagian hadapan bangunan bersejarah bekas bursa saham di Copenhagen telah roboh kelmarin, menurut pihak perkhidmatan penyelamat, ketika kerja-kerja untuk memadamkan bahagian terakhir kebakaran diteruskan pada hari ketiga.

Separuh daripada bangunan Borsen abad ke-17 itu telah musnah dan menara setinggi 54 meter (180 kaki) jatuh ke tanah dalam kebakaran yang berlaku pada awal Selasa, dalam kejadian yang mengejutkan Denmark.

“Malangnya, terdapat satu keruntuhan pada bahagian hadapan,” kata pihak perkhidmatan penyelamat Copenhagen dalam satu kenyataan menerusi platform X, pada tengah kelmarin.

Mereka mendakwa bahawa semua pekerja telah dikeluarkan dari tempat kejadian dan tiada kecederaan yang dilaporkan.

Rakaman video secara langsung dari tempat kejadian menunjukkan sebuah tembok yang roboh dengan sendirinya, ketika asap berterusan naik ke udara dari bangunan yang hangus terbakar.

Beberapa kontena telah diletakkan di sekitar bangunan dalam satu cubaan untuk menyokong bangunan.

Pada awal hari itu, perkhidmatan penyelamat di bandar menyatakan bahawa kerja-kerja pemadaman api sedang diteruskan.

“Kami telah memadamkan beberapa kebakaran kecil dalam, bangunan, terutama di tingkat bawah,” tulis pihak perkhidmatan penyelamat menerusi X.

“Kerja-kerja untuk menstabilkan dinding luar akan diteruskan untuk sepanjang hari. Kami menjangka akan berada di tempat kejadian kebakaran untuk sekurang-kurangnya sehari lagi.”

Polis menyatakan beberapa jalan raya di sekitar bangunan akan terus tidak dapat dimasuki sehingga Isnin.

Kebakaran bermula di bawah bumbung tembaga bangunan tersebut, yang telah melalui kerja-kerja pengubahsuaian sebelum ulang tahunnya yang ke-400.

Punca kebakaran masih belum diketahui dan polis Copenhagen menyatakan pada Rabu bahawa satu siasatan utama telah dilancarkan.

“Ia merupakan satu proses yang sukar dan akan mengambil masa beberapa bulan sebelum kami boleh mencapai satu jawapan,” kata pihak polis dalam satu kenyataan.

Salah satu mercu tanda paling tua dan terkenal di ibu negara, bangunan Borsen menempatkan Dewan Perdagangan Denmark termasuk koleksi seni yang luas. Brian Mikkelsen, pengarah bagi Dewan Perdagangan Denmark menyatakan pada Rabu bahawa bahagian menara ikonik di atas bangunan – direka untuk kelihatan seperti ia terhasil daripada bahagian ekor empat naga yang dicantumkan – ditemui masih utuh.

“Ia memberikan sedikit harapan. Kerana ia akan sekali lagi menunjukkan tempat kerja yang cantik dan Copenhagen,” kata Mikkelsen.

Terletak dekat dengan parlimen Christiansborg dan kerusi kerajaan, bangunan itu dirasmikan oleh Raja Christian IV dan dibina di antara tahun 1619 dan 1640. Ia menjadi bursa saham sehingga tahun 1970-an. — AFP
 

Advertisement