Anda di sini

Hamilton tegaskan beliau tidak perlukan ‘pengesahan’ untuk perpindahan

Advertisement
HAMILTON
HAMILTON

SHANGHAI: Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton kelmarin menyatakan dia hanya menutup cakap-cakap yang menyelubungi perpindahannya ke Ferrari tahun depan, berkata dia tidak memerlukan ‘pengesahan’ bahawa ia keputusan yang sesuai untuknya.

Veteran Formula Satu (F1) itu, 39, mengejutkan dunia F1 pada Februari apabila dia berkata dia akan meninggalkan Mercedes pada penghujung 2024 selepas 12 tahun bersama untuk menyertai pasukan Itali.

Hamilton kelmarin ditanya sebelum Grand Prix China hujung minggu ini sama ada permulaan kukuh Ferrari untuk musim ini - secara konsisten mereka paling hampir dengan Red Bull yang dominan - bermakna keputusan pertukaran itu wajar.

“Saya tidak rasa keputusan saya perlu pengesahan,” kata Hamilton kepada pemberita.

“Saya tahu apa yang sesuai untuk saya, dan itu tidak pernah berubah sejak saat saya membuat keputusan.

“Saya tidak ada masa untuk mempersoalkannya. Dan saya tidak terpengaruh dengan komen orang lain.”

Hamilton berkata dia terpaksa menghadapi kritikan sebelum ini apabila dia meninggalkan McLaren untuk menyertai Mercedes pada 2012.

“Sehingga hari ini, ada orang yang terus bercakap buruk dan ia akan berterusan sepanjang tahun ini,” katanya.

“Dan saya hanya perlu melakukan apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.

“Hanya kita sendiri yang tahu apakah yang sesuai untuk diri sendiri dan ia akan menjadi tempoh yang mengujakan untuk saya.” — AFP 
 

Advertisement