Anda di sini

Letusan Gunung Ruang tidak secara langsung jejas kualiti udara di Sarawak: NREB

Advertisement
Gambar serahan Pusat untuk Mitigasi Bencana Vulkanologi dan Geologi kelmarin menunjukkan Gunung Ruang memuntahkan abu dan asap setinggi dua kilometer ke langit seperti dilihat dari Sitaro, Sulawesi Utara. — Gambar AFP
Gambar serahan Pusat untuk Mitigasi Bencana Vulkanologi dan Geologi kelmarin menunjukkan Gunung Ruang memuntahkan abu dan asap setinggi dua kilometer ke langit seperti dilihat dari Sitaro, Sulawesi Utara. — Gambar AFP

KUCHING: Letusan Gunung Ruang di Indonesia tidak secara langsung menjejaskan kualiti udara di Sarawak.

Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak berkata, mereka sedang memantau rapi perkembangan terkini situasi itu melalui lima Stesen Pemantauan Kualiti Udara (AQMS) iaitu di Lundu, Tebedu, Lubok Antu, Bario dan Lawas.

Katanya, berdasarkan bacaan yang diperolehi daripada AQMS sejak 8 pagi  pada 17 April 2024, telah menunjukkan bahawa bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada dalam kategori Baik (0-50) hingga Sederhana (51-100).

“Selain itu, bacaan IPU daripada laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Malaysia https://apims.doe.gov.my juga menunjukkan IPU di pelbagai kawasan di Sarawak berada dalam kategori Baik hingga Sederhana dan tiada bacaan tidak sihat direkodkan.

“Oleh itu, NREB dengan tegas ingin menyatakan bahawa letusan Gunung Ruang di Indonesia tidak secara langsung menjejaskan kualiti udara ambien di Sarawak,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.

Menurut NREB, Kerajaan Sarawak menyedari kebimbangan rakyatnya terhadap kemungkinan kesan letusan gunung berapi Gunung Ruang kepada kualiti udara di wilayah ini.

Tambahnya, letusan itu boleh membebaskan zarah berbahaya, termasuk gas gunung berapi seperti sulfur dioksida (SO2) dan abu.

Bilangan cerapan jisim zarah (PM) selepas letusan gunung berapi bergantung pada masa dan keamatan. Selain itu, keadaan cuaca, termasuk arah angin juga menentukan bilangan cerapan PM selepas letusan.

Mengenai cuaca panas semasa yang dialami di kebanyakan kawasan di Sarawak, NREB menegaskan ia adalah disebabkan monsun antara (dijangka sehingga Mei 2024) dan fenomena El-Nino.

Katanya, semasa El-Nin, Malaysia serta kawasan lain di Asia Tenggara, cenderung mengalami kemarau yang berpanjangan. 

Berdasarkan laporan pemantauan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada 31 Mac 2024, keadaan El-Nino dijangka berlarutan sehingga Jun 2024.

“Justeru, cuaca panas sekarang tidak disumbangkan langsung oleh letusan gunung berapi Gunung Ruang.

“Memandangkan cuaca panas sekarang, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka bagi memburukkan lagi keadaan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk melaporkan sebarang kes pembakaran terbuka kepada NREB dan JAS,” tegasnya.
 

Advertisement