Anda di sini

Pengusaha warung maut kereta dinaiki terlibat kemalangan

Advertisement
Bomba membantu mangsa yang terlibat dalam kemalangan terbabit. -Gambar Bomba
Bomba membantu mangsa yang terlibat dalam kemalangan terbabit. -Gambar Bomba

KUCHING: Seorang pengusaha warung makanan maut setelah kereta yang dinaiki bersama dua lagi mangsa terlibat kemalangan di Jalan FAC, Matang, malam tadi.

Mangsa maut dikenali Lai Nyuk Loi, 54, beralamat di Matang Jaya, Kuching.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata, lelaki yang juga pemandu kenderaan itu disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang berada di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku sekitar jam 8.30 malam melibatkan sebuah kenderaan yang dinaiki tiga mangsa terbabit.

"Kemalangan terjadi apabila kenderaan yang dinaiki mangsa yang bergerak dari arah Sempadi ke Kuching itu dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam dan terbalik ke dalam parit di bahu kiri jalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, akibat kemalangan itu, seorang mangsa disahkan meninggal dunia manakala dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki, 65, dan wanita, 25, cedera.

"Cuaca semasa kejadian adalah baik selain keadaan jalan raya yang kering, kadar penglihatan di jalan itu agak gelap tanpa lampu jalan," tambahnya.

Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, pihaknya menerima laporan terbabit sekitar jam 8:31 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bergegas ke lokasi.

Jelasnya, anggota bomba bertindak mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit menggunakan 'scope strecher' sebelum diserahkan kepada pihak ambulans yang turut berada di lokasi.
 

  • oleh
  • Advertisement