Anda di sini

Stadium mini dirancang dibina di Bandar Baharu Sebuyau

Advertisement
JULAIHI
JULAIHI

KUCHING: Pembinaan fasiliti sukan iaitu stadium mini antara kemudahan yang termasuk dalam perancangan pembinaan yang dibangunkan di pusat Bandar Baharu Sebuyau.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pembinaan kemudahan sukan itu diketengahkan memandangkan ia merupakan keperluan anak-anak muda di kawasan terbabit.

Menurutnya, terdapat tapak untuk stadium mini yang disediakan di Bandar Baharu Sebuyau, di mana tapak itu adalah khas untuk kemudahan sukan.

"Antara kemudahan sukan yang kita cadangkan pembinaannya adalah stadium mini pada masa akan datang.

"Bagaimanapun, permulaan pembinaan fasiliti itu banyak bergantung kepada kerajaan kerana saya perlu mendapat peruntukan berikutan yang perlu diutamakan sekarang ialah projek perumahan," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Terbuka Kampung Sebangan, Sebuyau, Piala Menteri Utiliti Dan Komunikasi Sarawak Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, di sini, semalam.

Jelas ADUN Sebuyau itu, beliau bagaimanapun terus komited untuk memulakan projek pembinaan stadium mini dalam masa terdekat.

"Insya-Allah kita melihat bagaimana kita boleh membina stadium mini dalam masa terdekat kerana kemudahan sukan merupakan keperluan untuk anak-anak muda.

"Untuk kemudahan lain, banyak padang futsal telah dibina dan ia dapat dilihat di seluruh kawasan Sebuyau, hampir semua kampung dan rumah panjang ada padang futsal," ujarnya.

Mengenai pembangunan Bandar Baharu Sebuyau, pelbagai projek kini giat dilaksanakan sekali gus menjadikan pusat bandar itu menjadi tumpuan pengguna jalan pesisir dan jalan utama kedua selepas ini.

"Antaranya projek yang dibina ialah projek perumahan, pasar baharu, pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau gantian penuh, pejabat pertanian, pejabat daerah, stesen pengisian minyak, stadium mini dan sebagainya.

"Ini menjadikan kawasan bandar baharu itu sebagai pusat bersepadu berikutan terdapat pelbagai kemudahan di kawasan berkenaan," jelasnya.

Berhubung pembinaan jalan mengelilingi Sebuyau, pembinaan jalan raya Sebuyau ke Lingga menunjukkan kemajuan dan ia memendekkan perjalanan.

"Pembinaan jalan utama kedua pula yang mengelilingi Sebuyau dan keluar di kawasan Jambatan Batang Sadong terus ke Jambatan Samarahan sudah mula dan kita saksikan ofis tapak untuk pembinaan A2 jalan itu sudah ada," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement