Anda di sini

Tiga pemuda maut nahas motosikal di Jalan Sultan Iskandar Bintulu

Advertisement
Keadaan motosikal yang dinaiki ketiga mangsa sejurus berlakunya kemalangan.
Keadaan motosikal yang dinaiki ketiga mangsa sejurus berlakunya kemalangan.

BINTULU: Tiga lelaki yang merupakan seorang penunggang dan dua pembonceng maut akibat tercampak dari motosikal yang dinaiki selepas terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Sultan Iskandar awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali, dalam insiden yang berlaku sekitar jam 4.20 pagi itu, ketiga-tiga mangsa yang merupakan lelaki berumur antara 20 dan 21 tahun disahkan maut oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal yang dijalankan mendapati semasa kejadian, penunggang bersama dua lagi rakannya yang merupakan pembonceng dipercayai sedang bergerak dari arah Lampu Isyarat Batu 2 Jalan Sultan Iskandar meghala ke Pasar Lama Bintulu.

"Sampai di selekoh berdekatan lampu isyarat Jabatan Kerja Raya (JKR) telah hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan pembahagi jalan lalu tercampak ke laluan bertentangan," jelas beliau.

Kes ini katanya akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nixon dalam masa sama menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

Justeru, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau terlihat kejadian boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Lydia Allan Balai Polis Trafik Bintulu di talian 086-338575 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu 086-318304.
 

  • oleh
  • Advertisement