Anda di sini

Chaleeda Gilbert artis antarabangsa pertama Rocketfuel Entertainment

Advertisement
CHALEEDA GILBERT
CHALEEDA GILBERT

PENYANYI remaja berdarah kacukan Inggeris-Thailand yang bakatnya dicungkil menerusi laman sesawang YouTube selepas menyanyikan lagu penyanyi terkenal antarabangsa seperti Justin Bieber dan mendapat tontonan melebihi 1.2 juta hanya dalam 5 hari, Chaleeda Gilbert mula diperkenal menerusi single ‘Mind Over Matter’ yang dicipta oleh penyanyi rap tanah air berbakat besar SonaOne.

Chaleeda, yang baharu sahaja menginjak umur 16 tahun telah mula berkecimpung dalam bidang muzik seawal 11 tahun dan pernah menjadi sebahagian kumpulan remaja wanita popular di Thailand dipanggil Tweenie 90’s, merupakan artis antarabangsa pertama yang dilamar oleh Rocketfuel Entertainment kerana bakat semula jadi sebagai penyanyi yang dimilikinya.

Sebelum ini, Chaleeda telah pun melancarkan sebuah single dalam bahasa Thai berjudul ‘Ready For Love’ kolaborasi bersama penyanyi rap terkemuka Thailand bernama Twopee yang turut diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment pada bulan Ogos lepas dengan 1.5 juta tontonan hanya dalam beberapa hari sejurus dilancarkan di laman sesawang YouTube.

Proses penghasilan single ‘Mind Over Matter’ yang memakan masa selama sebulan untuk disiapkan ini menceritakan tentang cinta secara keseluruhan.

Mengulas lanjut mengenai single ‘Mind Over Matter’, Chaleeda berkata, “Kalau dalam single ‘Ready For Love’, ia lebih kepada pengenalan saya sebagai pendatang baharu kepada khalayak umum dan ingin lari dari imej sebelumnya yang keanak-anakan tetapi dalam single ‘Mind Over Matter’ saya terjemahkan perasaan cinta saya dalam lagu bahawa istilah cinta itu tiada sempadan dan tiada batasan usia untuk jatuh cinta kerana apa yang kita rasa melalui minda dan hati lebih penting dan mengatasi segala-galanya.”

Chaleeda yang meminati artis antarabangsa seperti Drake, Rihanna, August Alsina dan Melanie Matinez ini juga mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih Rocketfuel Entertainment sebagai syarikat rakamannya.

Rocketfuel Entertainment merupakan syarikat rakaman pertama di rantau Asia yang menyokong usaha penggiat muzik muda seperti saya kerana telah banyak syarikat rakaman yang saya dekati di negara sendiri namun tiada satu pun yang memahami hala tuju muzik saya dan mahu memberi peluang kepada saya, dan apabila Rocketfuel Entertainment menghubungi saya menyatakan hasrat mereka untuk mengambil saya sebagai artis rakaman mereka, tanpa berfikir panjang lagi saya rasakan inilah peluang yang saya tunggu-tunggu selama ini.

Di samping itu, team Rocketfuel Entertainment sangat profesional dalam mengendalikan aktiviti seni saya serta layanan yang diberikan seolah-olah saya sebahagian daripada keluarga besar mereka dan sokongan yang diberikan terhadap karier muzik saya tidak berbelah bagi,” tambahnya.

Menurut gadis manis ini lagi, Malaysia merupakan sebuah negara yang hebat dan berjiran dengan Thailand menyebabkan banyak persamaan di antara kedua-dua buah negara ini.

Dengan layanan mesra yang diberikan oleh keluarga Rocketfuel Entertainment, saya rasakan ia seperti rumah kedua saya,” kata Chaleeda yang meletakkan harapan yang tinggi pada single ‘Mind Over Matter’ ini dan menyeru agar penggemar muzik seluruh dunia dapat menerimanya dengan baik.

Sementara itu, Ketua Label Muzik Rocketfuel Records Adam Lobo berkata Chaleeda mempunyai bakat semulajadi yang mengagumkan pada usia muda dan beliau juga merupakan contoh artis yang mempunyai pakej yang lengkap

Peredarannya dari single pertama ‘Ready For Love’ di dalam bahasa Thai kepada single ‘Mind Over Matter’ di dalam bahasa Inggeris juga turut menunjukkan kebolehan beliau dalam menguasai kedua-dua bahasa ini.

Kami percaya bahawa lagu ini mampu membawa Chaleeda pergi jauh bukan sahaja di Malaysia serta Thailand, bahkan ke serantau Asia dan mungkin ke seluruh dunia,” katanya.

Baru-baru ini, Rocketfuel Entertainment telah menganjurkan ‘Chaleeda Showcase’ iaitu sebuah konsert mini pertama Chaleeda di Malaysia bertempat di The Bee, Publika jam 8 malam.

Di konsert mini itu, Chaleeda telah mendendangkan sebanyak lima buah lagu iaitu ‘Don’t Let Me Down’ (cover), ‘Ready For Love’, ‘I Hate You I Love You’ (cover), ‘The One I Like’ dan ‘Mind Over Matter’.

Single ‘Mind Over Matter’ diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd dan boleh didengari di corong-corong radio seluruh Malaysia.

Video muzik lagu ini boleh ditonton di laman sesawang YouTube Rocketfuel Network dan lagunya pula boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta juga boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Advertisement