Anda di sini

Kemenangan DAP di Mas Gading tamparan besar kepada BN

Advertisement
MILA JOSIMP & ROSADI UGIT (Kanan)
MILA JOSIMP & ROSADI UGIT (Kanan)

BAU: Kemenangan Parti Tindakan Demokratik (DAP) di kerusi Parlimen Mas Gading dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) merupakan satu tamparan besar kepada Barisan Nasional (BN).

Lebih mengejutkan apabila calon taruhan BN Datuk Anthony Nogeh Gumbek yang merupakan seorang timbalan menteri tewas kepada calon muda DAP Mordi Bimol.

Mordi yang pernah tewas di tangan Nogeh pada PRU13, bangkit dalam PRU14 dengan undian sebanyak 12,771 dan majoriti 3,024 undi.

Nogeh yang memenangi kerusi ini buat pertama kalinya pada PRU13 tewas dalam PRU14 dengan hanya 9,747 undi  menerusi pertandingan satu lawan satu dengan Mordi.

Dalam pada itu, rata-rata dari kalangan rakyat amnya dan pengundi di Mas Gading khasnya menyambut gembira kemenangan Mordi di kerusi tersebut.

Menurut Rosadi Ugit, kemenangan DAP di Mas Gading adalah disebabkan rakyat sudah hilang kepercayaan dan keyakinan kepada kepimpinan BN.

Beliau yang pernah berkhidmat dalam tentera di bawah kerajaan BN dan dilantik sebagai kaunselor selama lima penggal berkata banyak polisi yang diperkenalkan kerajaan BN telah membebankan rakyat.

Sebagai contoh katanya, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta corak pengurusan kewangan dan pentadbiran negara yang semakin lemah menyebabkan rakyat tidak lagi percaya kepada BN.

“Sebab itu, walaupun jentera kami (DAP) di Mas Gading tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh namun kami sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk meneruskan perjuangan kami.

“Sekarang ini, Mas Gading sudah milik DAP, jadi kita berharap wakil rakyat kita yang baharu akan melaksanakan apa yang dijanjikan dalam tempoh lima tahun ini.

“Jika janji-janji tidak ditunaikan dalam masa lima tahun ini, kita khuatir rakyat akan beralih sokongan sekali lagi seperti yang berlaku ke atas BN,” kata Rosadi.

Sementara itu, golongan belia di Mas Gading turut menaruh harapan yang tinggi kepada wakil rakyat baharu mereka untuk membawa pembaharuan di kawasan itu.

Menurut Mila Josimp, 25, golongan belia di kawasan Mas Gading ini tidak terlepas dari dibebani dengan kos hidup yang tinggi di bawah pemerintahan BN.

Malah mereka juga tidak terlepas daripada dikenakan GST dan pelbagai jenis cukai lain yang membebankan golongan belia terutama yang baharu membina kerjaya.

“Walaupun Mas Gading ini bukan kawasan bandar tetapi kos hidup di luar bandar tidak jauh beza dengan di bandar.

“Jadi kami belia-belia Mas Gading berharap wakil rakyat kami di bawah kerajaan yang baharu akan melaksanakan lebih banyak inisiatif yang dapat membantu golongan belia di luar bandar,” katanya.

Kemenangan di luar jangkaan Mordi di Mas Gading menunjukkan bahawa rakyat tidak dapat lagi ditundukkan dengan wang ringgit atau projek-projek.

Apa yang dimahukan oleh rakyat kini ialah pentadbiran yang telus serta benar-benar mengutamakan rakyat yang telah memilih mereka.

Advertisement