Anda di sini

SMK Medamit Limbang juara Anugerah Ketua Menteri Sabah

Advertisement
 SMK Medamit Limbang bergambar bersama hadiah kemenangan pada festival Tugu Budaya Etnik Sabah Ke-9 di  Penampang, Sabah Sabtu lepas.
MENCIPTA KEJAYAAN: SMK Medamit Limbang bergambar bersama hadiah kemenangan pada festival Tugu Budaya Etnik Sabah Ke-9 di Penampang, Sabah Sabtu lepas.

LIMBANG: Sekolah luar bandar, SMK Medamit Limbang mengharumkan nama Sarawak apabila diumumkan sebagai  juara Anugerah Ketua Menteri Sabah sempena Tugu Budaya Etnik Sabah Ke-9 di  Penampang, Sabah Sabtu lepas.

Selain SMK Medamit, Sekolah Kebangsaan (SK) Tuarid Taud, Keningau Sabah turut berkongsi kejayaan dan pencapaian sama pada festival berprestij itu.

Selaku juara, SMK Medamit meraih wang tunai sebanyak  RM13,000 tajaan Petronas berserta trofi dan sijil penghargaan manakala SK Tuarid Taud membawa pulang RM10,000.

Hadiah kemenangan disampaikan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew.

SMK Medamit turut me-rangkul empat anugerah iaitu visual terbaik keseluruhan, susunan muzik terbaik ke-seluruhan, koreografi terbaik keseluruhan dan anugerah tarian kreatif tradisi terbaik.

Sementara itu SK Tuarid Taud berjaya memenangi empat anugerah membabitkan  susunan muzik terbaik keseluruhan, koreografi terbaik keseluruhan, anugerah tarian kreatif tradisi terbaik dan anugerah tarian tradisi Sabah terbaik.

Pada festival itu tempat kedua dimenangi  SK Kiawayan, Tambunan dan SMK Sungai Damit, Tuaran dengan merangkul anugerah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan membawa pulang wang tunai  RM8,000 dan RM10,000, trofi dan sijil penghargaan.

Manakala SK Sungai Damit, Tuaran Sabah dan SMK Tawau, Tawau, Sabah masing-masing menerima anugerah Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah sekaligus membawa pulang wang tunai RM6,000 dan RM7,000, trofi dan sijil penghargaan.

Seramai 900 peserta pertandingan memeriahkan festival tu yang menyaksikan penglibatan 29 sekolah dari seluruh Malaysia termasuk lima sekolah peringkat antarabangsa iaitu Ranranga Dance Academy, Sri Langka, Zamin Uzbekistan, Sanggar Tari Bali Legong, Indonesia, Raduga Dance Troupe, Rusia dan National Tarlac High School, Filipina.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datu Rosmadi Dato Sulai, Setiausaha Tetap Kementerian Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah Datuk Bruno Vun dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah Datuk Awang Damit Ag Anak.

Advertisement