Anda di sini

Lagenda bina badan Sarawak Solomon Esmanto meninggal dunia

Advertisement

Bekas Mr Asia 1969 meninggal dunia setelah beberapa tahun menderita barah usus

Foto Soloman yang diambil ketika menerima lawatan dari pada delegasi SBBA pertengahan tahun lepas.  

KUCHING: Bekas juara bina badan Asia, Soloman Esmanto menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS), sekitar pukul 3 pagi hari ini. 

Soloman atau nama sebenar beliau Suratinan Tamin dilahirkan pada 1 Jun, 1943 di Kampung Jawa No 2 di Kuching.

Beliau disahkan menghidap barah usus pada 2014 dan semenjak itu, beliau menjalani sesi kemoterapi setiap dua minggu sehingga minggu lepas.

Menurut anak bongsu beliau Serikartika Suratinan, bapanya dibawa ke hospital pada petang Jumaat lepas apabila beliau muntah beberapa kali sebelum itu.

Pada mulanya, keadaan beliau stabil sebelum mengalami demam.

"Kami sekeluarga redha dengan pemergian Allahyarham dan ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka yang sudi menziarahi kami, kata Serikartika ketika ditemui di rumah beliau di RPR Fasa 2, Jalan Astana di sini.

Jenazah Soloman disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang sekitar pukul 11 pagi.

Foto arkib menunjukkan Soloman dan isteri beliau Fatimah menerima kunjungan daripada Wee (kanan) hujung tahun lepas.
Foto fail menunjukkan Soloman dan isteri beliau Fatimah menerima kunjungan daripada Wee (kanan) hujung tahun lepas.

Dalam ucapan takziah beliau, Presiden Persatuan Bina Badan Negeri Sarawak (SBBA) Dato Wee Hong Seng melahirkan rasa sedih beliau di atas pemergian lagenda bina badan Sarawak itu.

"Inilah antara pelopor sukan ini di Sarawak. Biarpun begitu, saya bersyukur kerana sempat bersama beliau ketika beliau menjalani pembedahan mata awal tahun ini.

"Salam takziah dari kami di SBBA buat keluarga Allahyarham. Kami dari SBBA merancang untuk menziarahi keluarga beliau dalam minggu ini," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Soloman mula berjinak-jinak dalam bina badan semenjak pengajian beliau di Sekolah St Thomas sekitar 1960-an. Pertandingan pertama beliayu adalah Mr Hercules Kuching 1963, di mana dia dinobat sebagai juara keseluruhan.

Di pentas ini juga beliau mula-mula dikenali sebagai Saloman Esmanto.

Beliau mula bertugas di Jabatan Penjara Kuching pada 1 September, 1964 hingga 1 Ogos, 1998 dan bersara sebagai sub-inspektor.

Foto arkib menunjukkan Soloman  berbual bersama anak didik beliau Mohd Iskandar Razali di kediamannya di Petra Jaya.
Foto fail menunjukkan Soloman berbual bersama anak didik beliau Mohd Iskandar Razali di kediamannya di Petra Jaya.

Hasil perkongsian hidup dengan Fatimah Jalil, Soloman dikurniakan seramai tujuh orang cahaya mata  lima lelaki dan dua perempuan, namun anak lelaki yang sulung meninggal dunia beberapa tahun lepas.

Saloman kekal aktif bertanding sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di jabatan, merangkul pelbagai kejuaraan termasuk Mr Malaysia pada 1971 dan 1973, serta Mr ASEAN 1979 Jakarta, Indonesia.

Namun pencapaian beliau yang tertinggi ialah dinobat juara keseluruhan Mr Asia 1969 di Colombo, Sri Lanka; sekali gus memahatkan nama beliau sebagai atlet bina badan Sarawak pertama yang meraihnya.

Beliau merupakan penerima pertama Anugerah Olahragawan Sarawak daripada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) pada 1971.

Di samping itu, beliau juga menerima beberapa pingat negeri dan persekutuan iaitu Ahli Bintang Negeri Sarawak (ABS) pada 1972, Pingat Pangkuan Negara (PPN) pada 1973, Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) pada 1987 dan Ahli Mangku Negara (AMN) pada 2000.

Saloman merupakan antara tiga atlet pelopor bina badan Sarawak yang pernah menjulang kejayaan di peringkat Asia.

Bujang muncul juara Mr Asia sebanyak dua kali 1980 dan 1981, manakala Liaw Teck Leong meraih kemenangan pada 2000.

Bujang meninggal dunia pada 12 Oktober 2014, selepas mengalami komplikasi akibat serangan lelah pada umur 77 tahun.

Liaw, 52, kini menetap di Kuala Lumpur.
 

Advertisement