Anda di sini

Atlet Sarawak setanding jaguh dunia

Advertisement
 Aksi Pandelela bersama Cheong Jun Hoong semasa Sukan Olimpik Rio.
KEBANGGAAN NEGARA: Aksi Pandelela bersama Cheong Jun Hoong semasa Sukan Olimpik Rio.
 Grace memberi pose bergaya di hadapan paparan elektronik yang memaparkan rekod baharu dicatatnya semasa KL2017.
POTENSI BESAR: Grace memberi pose bergaya di hadapan paparan elektronik yang memaparkan rekod baharu dicatatnya semasa KL2017.
 Welson menggigit pingat emas dimenanginya dalam acara 400 meter gaya bebas semasa KL2017.
PUAS: Welson menggigit pingat emas dimenanginya dalam acara 400 meter gaya bebas semasa KL2017.
 Esmelda memperaga pingat dimenanginya dengan gaya tersendiri semasa SUKMA 2013 di Kuala Lumpur.
SI CILIK BERJIWA BESAR: Esmelda memperaga pingat dimenanginya dengan gaya tersendiri semasa SUKMA 2013 di Kuala Lumpur.

TEMASYA Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang berlangsung pada Ogos tahun lepas meninggalkan detik penuh bermakna dalam arena sukan negara selepas Malaysia menamatkan penantian 16 tahun untuk kembali bergelar juara.

Kejayaan itu direalisasikan seramai 844 atlet yang beraksi cemerlang menyumbang sejumlah 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa dari 38 jenis sukan.

Sarawak tidak ketinggalan dengan seramai 43 atlet dipanggil mengibar cabaran negara dan 24 daripada mereka berjaya menghadiahkan 13 emas, lima perak dan tiga gangsa.

Perenang muda, Welson Sim Wee Sheng paling mencuri tumpuan pada temasya dwi tahunan itu dengan merangkul dua emas, satu perak dan satu gangsa selain memadam dua rekod lama kejohanan.

Pencapaian itu menobatkan atlet kelahiran Kuching berusia 21 tahun itu sebagai Olimpian 2017, anugerah yang sentiasa menjadi idaman setiap atlet negara.

Kemenangan Welson memang telah dijangka selepas beliau mengejutkan dunia dengan menewaskan pemenang emas Sukan Olimpik Rio 2016, Mack Horton dari Australia pada kejohanan antarabangsa di Mare Nostrum Tour, Monte Carlo, Monaco pada Jun 2017.

Selain itu, magis dua ‘Wong’ dari Sarikei, Jacky Wong dan Grace Wong dalam acara baling tukul besi turut memukau apabila kedua-dua atlet itu bukan sahaja menggondol emas malah turut memecah rekod kejohanan.

Seperti dijangka Ratu Terjun Negara, Pandelela Rinong Pamg tidak menghampakan peminat tempatan dengan turut menyumbang dua pingat emas buat negara.

Tidak ketinggalan menyumbang emas buat negara atlet wushu, Loh Jack Chang, Diana Bong, Sanjay Singh Chal (skuasy), Heidi Sarah Gan (renang), Traisy Vivien Tukiet (terjun) dan Wong Mei Chyn (bola keranjang).

BERTARAF DUNIA

Kejayaan atlet Bumi Kenyalang pada KL2017 membuktikan Sarawak tidak pernah gagal dalam melahirkan atlet bertaraf dunia.

Sejak era 60-an lagi, ramai atlet dari Sarawak telah membawa nama negara di pelbagai kejohanan antarabangsa seperti Sukan SEA atau dahulunya dikenali Sukan SEAP, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Nama-nama seperti Bala Ditta, Wong Tee Kui, Bujang Taha, Watson Nyambek, Tania Bugo, Buda Anchah, Sapok Biki dan ramai lagi telah menjadi inspirasi negara dengan pelbagai kejayaan yang mereka lakar.

Legasi kecemerlangan itu diteruskan atlet-atlet baharu hari ini yang dahagakan kejayaan lebih besar.

Sukan Olimpik London 2012 menyaksikan sejarah dilakar Pandelela selepas muncul atlet wanita pertama negara memenangi pingat dengan menggondol gangsa.

Empat tahun kemudian, atlet kelahiran Bau itu sekali lagi mengharumkan negara di Rio de Jeneiro, Brazil apabila gandingannya bersama Cheong Jun Hoong berjaya menghadiahkan perak.

Tuah ‘Lulu’ dan Cheong diteruskan pada temasya Sukan Komanwel 2018 Gold Coast Australia dengan merangkul emas pertama negara dalam acara terjun seirama.

SUKAN MALAYSIA (SUKMA)

Sejak diperkenalkan pada 1986, Sukan Malaysia atau singkatannya SUKMA menjadi platform pembangunan penting kepada atlet dari seluruh negara untuk mengetengahkan potensi.

Sarawak tidak terkecuali dengan memanfaat sepenuhnya SUKMA sebagai pentas melahirkan ramai atlet yang telah berjaya mengharumkan negara di pentas antarabangsa hari ini.

Bryan Nickson Lomas (terjun), Erika Kong, Angela Chieng (renang), Assri Merzuki, Aslina Chua (tenis), Jonathan Nyepa (100 meter) dan Ashri Chuchu (bola sepak) hanya sebahagian daripada produk keluaran Sarawak yang lahir dari SUKMA.

Ramai lagi sedang dalam pembikinan dan hanya menunggu detik untuk ‘dilepaskan’ dari kandang.

SUKMA 2016 yang diadakan di Sarawak menyaksikan beberapa bintang baharu dalam beberapa acara sukan terus dilahirkan.

Peminat tenpin boling masih tidak dapat melupakan aksi mantap Nerosha Keligit dengan mencipta rekod baharu memenangi semua enam pingat emas dipertandingkan dalam kategori wanita.

Rakan Nerosha, Ervin Lim Wai Mun turut cemerlang dengan merangkul empat emas dalam kategori lelaki.

Pada SUKMA 2013 di Kuala Lumpur, gimnas cilik dari Sarawak, Esmelda Arecia Menti Alfred Geling mencuri tumpuan selepas menggondol dua emas, tiga perak dan satu gangsa.

Pencapaian di luar dugaan itu menobatkan beliau sebagai Atlet Wanita Terbaik pada edisi tersebut.

Arena akuatik Sarawak turut melahirkan ramai bakal pengganti Pandelela, antara nama yang kian menyinar Kimberly Bong Wei Ling.

Kejayaan meraih emas pada SUKMA 2016 membolehkan Kimberly diberi peluang sulung beraksi pada KL2017 dan atlet berusia 16 tahun itu tidak menghampakan negara dengan menyumbang gangsa.

  • oleh
  • Advertisement