Anda di sini

Tindakan PH batal banyak projek disifatkan mendiskriminasi hak pembangunan rakyat

Advertisement

KUCHING: Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan banyak projek khususnya di kawasan luar bandar di Sarawak disifatkan sebagai mendiskriminasi hak pembangunan rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland Abang Hipni berkata, perbuatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen yang mendakwa pembatalan projek kerajaan terdahulu disebabkan projek ‘hot air’ dan projek ‘kroni’ hanyalah bersifat politik dan cuba mengalih pandangan umum terhadap ketidakpuasan rakyat terhadap ekonomi Malaysia ketika ini.

“Apakah yang dimaksudkan Chong dengan projek ‘hot air’ dan projek ‘kroni’? Dakwaan tersebut hanya pernyataan politik yang bersifat memberikan gambaran yang tidak baik terhadap kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) dalam memperjuangkan pembangunan di Sarawak.

“Jika benar apa yang diperkatakan pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu, Chong perlu memberi dan mengemukakan senarai projek-projek yang dikatakan sebagai projek ‘hot air’ dan ‘kroni’,” katanya dalam satu kenyataan media berhubung dakwaan Chong yang menyifatkan dua kategori projek dibatalkan kerajaan pusat pada sidang media yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut menegaskan bahawa pemberian atau penganugerahan projek yang diumumkan sebelum ini perlu melalui pelbagai peringkat sebelum diumumkan kepada rakyat.

“Setiap projek perlu diteliti terlebih dahulu dalam pelbagai peringkat menerusi suatu sistem yang ketat bersama jabatan atau agensi yang berkaitan,” tambahnya.

Menurutnya lagi, selepas mendapati tiada masalah berkaitan kewangan dan diluluskan baharulah ia diumumkan kepada rakyat oleh pemimpin politik daripada kerajaan terdahulu.

“Jangan hanya pandai mengeluarkan kenyataan bersifat politik hanya semata-mata mahu memberi gambaran dan imej buruk terhadap kerajaan terdahulu yang sebelum ini banyak berjasa kepada rakyat,” tegasnya.

Bercakap mengenai Chong, Dr Hazland berkata, sepanjang memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong lebih banyak bermain politik berbanding menyelesaikan masalah rakyat khususnya berkaitan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi.

“Chong terlalu banyak berpolitik sehingga tugas dan peranan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak dapat dilaksanakan dengan baik khususnya di Sarawak.

“Akibatnya, jika sebelum ini Chong di pihak pembangkang kerap kali mempersoalkan tentang kenaikan harga barang dan kenaikan kos sara hidup sehingga mendakwa kerajaan terdahulu tidak melaksanakan tugas dengan baik, tetapi kini sebagai kerajaan, Chong turut gagal mengatasi masalah rakyat.

“Malah, selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkuat kuasa 1 September lepas, harga barangan yang dikatakan turun tidak menjadi kenyataan sebaliknya berlaku kenaikan yang ketara,” katanya.

Dr Hazland turut mempersoalkan apakah rasionalnya kerajaan PH yang diwakili Chong mahu menubuhkan syarikat bagi membangunkan kereta nasional ketiga dan Jambatan Bengkok bagi menghubungkan Malaysia dengan Singapura walaupun dikatakan ekonomi Malaysia kini dalam keadaan tidak menentu dan banyak hutang.

Sehingga kini, selepas lima bulan mentadbir Malaysia, tiada sebarang pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan PH sebaliknya lebih banyak drama politik disajikan kepada rakyat yang ketika ini telah mula hilang kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan baharu pada hari ini.

Advertisement