Anda di sini

Pengendali makanan wajib mendapatkan suntikan anti-tifoid

Advertisement
Dr Jamilah

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak menegaskan bahawa semua pengusaha premis makanan di negeri ini perlu memastikan setiap pengendali makanan wajib mendapatkan suntikan anti-tifoid.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Jamilah Hashim berkata, suntikan itu wajib sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983. 

Katanya pengusaha premis makanan juga diingatkan supaya memastikan pengendali makanan menjalani latihan pengendali makanan dari sekolah latihan pengendali makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagaimana diwajibkan di bawah perundangan yang sama. 

"Selain itu, pengendali makanan perlu mengamalkan kebersihan diri yang baik termasuk amalan mencuci tangan yang betul dan pengendalian makanan yang bersih dan selamat serta memakai pakaian pelindung yang betul dan bersesuaian seperti penutup kepala, apron yang berwarna cerah, penutup muka dan sarung tangan. 

"Di bawah Peraturan 32, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 menyatakan pengendali makanan hendaklah memakai pakaian yang bersih, sesuai dan apron berwarna cerah.

"Penetapan warna cerah bagi apron adalah bagi memudahkan pengesanan kesan kotoran. Apron berwarna gelap berisiko untuk berada dalam keadaan kotor dan menjadi punca pencemaran silang terhadap makanan yang disediakan," katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurutnya, pengendali makanan yang gagal mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983.

Katanya, JKN Sarawak mengambil berat tentang perkara ini dan akan menjalankan tindakan penguatkuasaan sepenuhnya bagi memastikan pematuhan dibuat oleh pengendali makanan terlibat. 

"Oleh itu, semua pengendali makanan diseru bekerjasama dan mematuhi etika pengendalian makanan yang baik," ujarnya.

Dr Jamilah menambah, JKN Sarawak mengambil serius isu kebersihan makanan di premis-premis makanan seperti restoran, gerai makan dan medan selera.

"Bagi memastikan premis makanan sentiasa berada dalam keadaan yang bersih, JKN Sarawak melalui Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Makanan sentiasa melaksanakan program dan aktiviti pemantauan keselamatan makanan.

"Ia  merangkumi seluruh negeri Sarawak termasuk aktiviti penguatkuasaan ke atas kebersihan premis makanan secara bersepadu dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan," katanya.

Sehubungan itu, orang awam disarankan menghubungi pihak JKNS jika terdapat sebarang pertanyaan atau aduan berhubung kebersihan dan keselamatan makanan dengan melayari laman sesawang http://fsq.moh.gov.my atau menghubungi Pejabat Kesihatan Bahagian yang berhampiran.

Advertisement