Anda di sini

Penguang kesal projek Jambatan Marudi tiada perkembangan

Advertisement
 Penguang (tiga kanan) bersama wakil dari JKR Negeri Sarawak semasa melawat tapak pembinaan Jambatan Marudi yang masih belum dimulakan sepenuhnya.
MASIH KOSONG: Penguang (tiga kanan) bersama wakil dari JKR Negeri Sarawak semasa melawat tapak pembinaan Jambatan Marudi yang masih belum dimulakan sepenuhnya.

MARUDI: Kelewatan pembinaan projek Jambatan Marudi bukan disebabkan kerajaan negeri tetapi berpunca daripada pihak kontraktor, kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil.

Beliau berkata, projek tersebut sepatutnya sudah bermula enam bulan lalu namun sehingga kini tapak pembinaan projek itu belum menunjukkan sebarang perkembangan.

Beliau yang melawat tapak projek itu semalam, kesal kerana setakat ini hanya dua jentera kelihatan membersihkan tapak manakala bahan binaan untuk membina jambatan belum ada.

“Saya memandang serius perkara ini kerana ribuan rakyat di Marudi amat mengharapkan jambatan ini. Mereka menaruh harapan yang amat tinggi untuk melihat jambatan ini dibuat namun kecewa kerana selepas enam bulan belum lagi bermula.”

“Semua orang menjangkakan projek ini sudah bermula, sekiranya lambat satu atau dua bulan mungkin dapat diterima tetapi kalau bertahun kita tidak dapat bertoleransi. Kita mahu projek ini berjalan dengan lancar demi rakyat Marudi,” kata Penguang semasa mempengerusikan mesyuarat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan kontraktor H.K.K & Salem Construction Sdn Bhd di sebuah hotel di Marudi semalam.

Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi menambah, projek berprofil tinggi yang dibiayai kerajaan negeri dengan kos RM75,587,188.56 itu dijadualkan bermula pada 25 Januari tahun ini sehingga 24 Januari 2022.

Jambatan merentasi Batang Baram sepanjang 650 meter dengan jalan dua lorong sehala itu kelak akan menyingkatkan perjalanan di antara Miri dan Marudi selain memudahkan pengguna terutama pelancong yang mahu berkunjung ke Marudi atau meneruskan perjalanan mereka ke Taman Negara Gunung Mulu melalui jalan darat dari Marudi.

Menurut Penguang, pihak kontraktor kini perlu mengemukakan pelan perkembangan dari semasa ke semasa dan beliau akan memantau perjalanan projek itu setiap minggu.

“Kita memberi pihak kontraktor peluang untuk melakukan projek ini, tetapi sekiranya mereka gagal menunjukkan prestasi meyakinkan kita tiada pilihan selain menamatkan perkhidmatan mereka.

“Saya tidak mahu pihak tertentu mengambil kesempatan ini untuk menyalahkan kerajaan sedangkan kelewatan bukan berpunca daripada kerajaan.

“Saya mahu kontraktor bertanggungjawab menyiapkan projek ini dengan apa cara sekalipun dalam masa yang ditetapkan,” kata Penguang.

Beliau turut meminta ketua-ketua masyarakat Marudi agar membantu menjelaskan kelewatan projek ini kepada anak buah mereka dan meminta penduduk di sana bersabar.

Ketika ini khidmat feri masih diperlukan dengan kereta dan pengguna berbaris panjang untuk menggunakannya terutama jika acara atau keramaian diadakan di Marudi.

Sementara itu Pengurus Besar H.K.K & Salem Construction Sdn Bhd Tiong Hock Yiok, berkata pihaknya sudah mula membersihkan kawasan tapak projek itu menghantar mesin dua jentera pembinaan beberapa hari lalu diikuti dengan lebih banyak jentera pada minggu hadapan.

Hadir sama Pengurus JKR Wilayah Utara Wisil Lichok, wakil JKR Negeri Sarawak dan ketua-ketua masyarakat Marudi.

Advertisement