Anda di sini

Shafie serah 339 geran NT kepada tujuh mukim di Tambunan

Advertisement
SHAFIE (dua, kiri) menyerahkan geran tanah kepada penduduk Tambunan pada majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Tambunan pada Sabtu.
SHAFIE (dua, kiri) menyerahkan geran tanah kepada penduduk Tambunan pada majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Tambunan pada Sabtu.

TAMBUNAN: Ketua Menteri,  Datuk Seri Shafie Apdal telah menyerahkan sebanyak 339 geran tanah Native Title (NT) dengan keluasan 1,227.42 ekar kepada tujuh mukim di daerah Tambunan di sini.

Mukim-mukim tersebut adalah Kerokot sebanyak 71 geran, Patau (79), Sunsuron (40), Toboh (21), Lintuhun (47), Nambayan (32), dan Monsorulung sebanyak 49 geran tanah.

Majlis penyerahan geran tanah tersebut telah dilangsungkan pada Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Tambunan yang diadakan di Pisompuruan Square di sini pada Sabtu.

Pada majlis itu, Shafie turut meluluskan peruntukkan bantuan kewangan sebanyak RM1 juta kepada Gereja Katolik St Theresa dan dua rumah anak yatim iaitu Rumah Anak-Anak Bandulu dan Rumah Anak Yatim Tambunan masing-masing RM20,000 setiap satu.

 Hadir sama pada majlis itu Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar, Pegawai Daerah Jumain Abdul Ghani, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, pemimpin-pemimpin politik Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Terdahulu dalam ucapannya, Shafie meminta para penerima geran tanah agar tidak menjadikan tanah mereka terbiar, disewakan dan menjualnya kepada orang lain.

Katanya, mereka hendaklah mengusahakan tanah tersebut dengan pelbagai jenis pertanian yang boleh membantu membangunkan ekonomi penduduk di daerah itu.

“Usahakan tanah-tanah dengan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang boleh memperolehi keuntungan yang lumayan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga memberitahu bahawa pemberian geran-geran tanah kepada mereka yang layak akan diteruskan bagi seluruh negeri Sabah.

Beliau juga meminta agar mereka yang mendapat geran tanah menjaga tanah mereka untuk mereka dan juga masa depan anak-anak mereka.

Sementera itu, seorang wakil penerima, Ketua Anak Negeri Mukim Monsurulung Rusidi Yassin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah menyerahkan geran-geran tanah sudah lama dipohon penduduk dan belum diserahkan kepada penduduk di mukim di bawah jagaannya.

Sementera itu, Ketua Anak Negeri Mukim Sunsuron Philipus Jani memberitahu bahawa geran tanah memang sudah lama orang kampung menunggu belasan tahun, dan ada juga yang baru dipohon tapi sampai saatnya sekarang  kerajaan baru ini telah menyerahkan permohonan tanah ini .

“Saya sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah yang begitu prihatin terhadap kebajikan masyarakat di kawasan luar bandar khususnya daerah Tambunan,” katanya.

Majlis ini turut diserikan dengan persembahan nanyian oleh artis-artis tempatan dan cabutan tiket bertuah yang dihadiri lebih 3,000 orang pelbagai lapisan masyarakat dari sekitar Tambunan dan kawasan Pedalaman.

Terdahulu, Shafie yang diiringi oleh Pegawai Daerah Jumain Abdul Ghani dan pemimpin-pemimpin lain turut melakukan lawatan ke bangunan Gereja St Theresa, menyempurnakan upacara pecah tanah bangunan Mahkamah Anak Negeri Tambunan yang menelan kos RM6 juta dan merasmikan bangunan Kolej Komuniti Tambunan yang menelan belanja RM20 juta.

Advertisement