Anda di sini

Pele Peter Tinggom angkat sumpah selaku Setiausaha DUN Sarawak baharu

Advertisement
Pele mengangkat sumpah sebagai Setiausaha DUN Sarawak baharu. - Gambar oleh Tan Song Wei
Pele mengangkat sumpah sebagai Setiausaha DUN Sarawak baharu. - Gambar oleh Tan Song Wei

KUCHING: Pele Peter Tinggom hari ini dilantik sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri  (DUN) Sarawak yang baharu.

Upacara mengangkat sumpah bagi jawatan itu berlangsung di Kompleks DUN Sarawak di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar.

Pele, 48, yang berasal dari Saratok merupakan lulusan Sarjana Muda dalam Undang-undang (Dengan Kepujian) dari Aglia Ruskin University, United Kingdom pada 1996 dan Diploma Pengurusan (Eksekutif) dari Institut Pengurusan Australia di Western Australia University pada 2002.

Beliau yang mempunyai pelbagai pengalaman dan kemahiran sebelum ini pernah menyandang jawatan Timbalan Setiausaha DUN dari 2011 hingga 2015. 

Selain itu, anak kepada bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat mendiang Dato Sri Peter Tinggom Kemarau itu juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas di Jabatan Perdana Menteri dari Julai 2009 hingga Januari 2010.

Pele bersalaman dengan Asfia selepas majlis mengangkat sumpah di Kompleks DUN Sarawak hari ini. Turut kelihatan, Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato Gerawat Gala. - Gambar oleh Tan Song Wei
Pele bersalaman dengan Asfia selepas majlis mengangkat sumpah di Kompleks DUN Sarawak hari ini. Turut kelihatan, Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato Gerawat Gala. - Gambar oleh Tan Song Wei

Pele dalam ucapannya, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan dalam memegang jawatan tersebut.

“Saya berikrar akan menjalankan tugas dan amanah yang diberikan bersungguh-sungguh dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang mengikut perlembagaan Sarawak.

“Saya juga berjanji akan memberikan komitmen penuh kepada Kerajaan Sarawak dalam usaha merealisasikan misi DUN ini,” katanya.

Sementara itu, Asfia berkata berkhidmat di DUN Sarawak bukanlah perkara asing lagi bagi Pele yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha DUN Sarawak

“Oleh itu, beliau amat sesuai untuk menjadi Setiausaha DUN Sarawak yang baharu menggantikan Semawi Mohamad. 

“Dengan pengalaman yang beliau miliki, saya memberikan kepercayaan penuh kepadanya kerana saya pasti beliau mampu melakukan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin,” ujarnya.


 

  • oleh
  • Advertisement