Anda di sini

Kuching FA rombak posisi

Advertisement
 Barisan pemain Kuching FA giat menjalani latihan dalam usaha kembali ke landasan kemenangan pada kempen Liga M3 2019.
BURU KEMENANGAN: Barisan pemain Kuching FA giat menjalani latihan dalam usaha kembali ke landasan kemenangan pada kempen Liga M3 2019.

KUCHING: Ketiadaan beberapa pemain tonggak memaksa ketua jurulatih Kuching FA, Ideris Untong membuat beberapa pertukaran posisi sebagai persediaan untuk berkunjung ke Stadium Hang Tuah, Melaka menentang SAMB FC dalam aksi Liga M3 2019 petang ini.

Selain penyerang utama, Joseph Kalang Tie yang digantung dua perlawanan, Kuching FA juga kehilangan seorang lagi penyerang, Sufizal Ismail atas urusan tugas dan pemain pertahanan, Mohd Hairol Mokhtar yang masih mengalami kecederaan.

“Untuk perlawanan menentang SAMB FC, kita akan melakukan banyak perubahan posisi. Saya akan mengetengahkan beberapa pemain lain namun kita akan mengekalkan corak permainan seperti biasa.

“Kita percaya semua pemain yang ada dapat memberi persembahan dan persefahaman yang terbaik untuk merealisasikan misi kembali memburu kemenangan,” katanya ditemui pada sesi latihan di sini kelmarin.

Ideris juga menyeru kepada semua pemain melupakan kekecewaan gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan terakhir dan kembali fokus untuk memburu tiga mata penuh petang ini.

Menurutnya, pasukan Kuching FA perlu kembali ke landasan terbaik untuk kembali mencabar kejuaraan dalam kempen Liga M3 musim ini.

“Kita mesti fokus terhadap misi memburu tiga mata penuh kerana hanya kemenangan dapat membuka semula peluang kita untuk merampas semula takhta liga. Saya percaya Kuching FA masih mampu ke landasan terbaik seperti sebelum ini,” katanya.

Kuching FA kekal di tangga kedua dengan mengumpul 43 mata namun masih berkelebihan satu perlawanan. Manakala pendahulu liga, Kelantan United masih menguasai liga dengan mengumpul 47 mata.   

  • oleh
  • Advertisement