Anda di sini

115 pengakap kanak-kanak jayakan Pek Bercuti di Labuan

Advertisement
 Pemimpin dan Pengakap Kanak-kanak bergambar kenangan pada Majlis Penutupan Perkhemahan Lencana Kemajuan Keris Perak dan Gangsa di Desa Tunas Hijau, Kampung Sungai Pagar.
GAMBAR KENANGAN: Pemimpin dan Pengakap Kanak-kanak bergambar kenangan pada Majlis Penutupan Perkhemahan Lencana Kemajuan Keris Perak dan Gangsa di Desa Tunas Hijau, Kampung Sungai Pagar.

LABUAN: Perkhemahan Lencana Kemajuan Keris Perak dan Gangsa khusus untuk pengakap berumur 8-12 tahun, juga dikenali sebagai Pek Bercuti dianjurkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan di Desa Tunas Hijau, Kampung Sungai Pagar pada 11-13 Oktober lalu.

Seramai 115 orang ahli Pengakap Kanak-kanak yang mewakili enam buah sekolah sekitar Wilayah Persekutuan Labuan mengambil bahagian dalam perkhemahan ini iaitu SK Membedai, SK Pantai, SK Kerupang, SK Lubok Temiang, SK Pekan 2 dan SK Layang-Layangan.

Perkhemahan ini dilaksanakan selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia yang ingin mewujudkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani melalui penyertaan dalam bidang kokurikulum.

Seseorang pelajar itu wajib menyertai aktiviti kokurikulum untuk menyeimbangkan tahap sosial mereka dalam melangkah ke alam kehidupan yang lebih mencabar.

Pengalaman yang ditimba melalui aktiviti perkhemahan ini bakal diaplikasikan oleh mereka apabila menempuhi alam kedewasaan kelak.

 Pemimpin pengakap menyematkan lencana keris kepada peserta yang lulus.
SEMAT LENCANA: Pemimpin pengakap menyematkan lencana keris kepada peserta yang lulus.

Antara objektif perkhemahan pada kali ini ialah untuk menguji kemahiran ilmu pengakap yang dipelajari oleh ahli pengakap, memberi pengiktirafan kepada ahli yang berjaya dalam ujian, memberi peluang kepada ahli pengakap merasai pengalaman dalam menyertai program perkhemahan, bermalam di dalam khemah dan melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan sosial.

Aktiviti teori, amali dan ujian dijalankan secara iaitu Pangkalan Kesetiaan, Pangkalan Kesihatan dan Keselamatan, Pangkalan Kecekapan dan Penyertaan, Upacara Laung Agung dan Kawad Kaki.

Perkhemahan yang berlangsung selama tiga hari dua malam ternyata dapat memuaskan hati dan minat ahli PKK yang separuh darinya merupakan pengalaman perkhemahan pertama bagi mereka.

Skip Rosni Mohd Daud selaku pesuruhjaya kebangsaan Persekutuan Pengakap Malaysia, dalam ucapan perasmian dan penutupan majlis turut mengucapkan tahniah apabila bilangan peserta naik tiga kali ganda dari tahun sebelumnya dan berharap agar perkhemahan seumpama ini dapat diteruskan secara tahunan dengan lebih ramai peserta pada masa hadapan.

Majlis Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan Labuan sangat menyokong dan menghargai penglibatan anak-anak dalam aktiviti berpengakap seperti ini pada bila-bila masa dan sentiasa memberi kerjasama yang tidak berbelah bahagi.

Penghargaan turut diberi kepada Dato’ Sri Haji Mohd Alias Abdul Rahman selaku Yang Dipertua Majlis Pengakap Labuan di atas sokongan dengan menyediakan tapak perkhemahan untuk ahli-ahli pengakap kanak-kanak berkhemah di perkampungan rekreasi Desa Tunas Hijau.  

Juga kepada semua pemimpin dan pengakap kelana yang hadir bertugas siang dan malam secara sukarela.

Turut hadir pada majlis perasmian dan penutupan itu ialah Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Unit PKK selaku Penyelaras Program, Skip Niza Utiya Haji Hamzah, Ahli Majlis Pengakap Negeri WP Labuan, Ustaz Mohd Farihi Ab Halim, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri (Program), Skip Angela Joseph, Pesuruhjaya Daerah Zon 1, Skip Han Siew Kong, Pesuruhjaya Daerah Zon 2, Skip Roslan Musa, Kelana Mazlina dan Akela Eric Eng Keng Seng.

Advertisement