Anda di sini

Lima calon pemain buruan Bayern

Advertisement

BERLIN: Musim Bundesliga 2020/21 bermula semalam (Jumaat) apabila juara bertahan Bayern Munich melancarkan kempen mereka untuk memburu kejuaraan liga kesembilan berturut-turut menentang Schalke 04 di stadium sendiri.

AFP Sport mengetengahkan lima pemain baharu untuk diperhatikan pada musim ini:

LEROY SANE
LEROY SANE

LEROY SANE

(Bayern Munich)

Bayern Munich membayar 45 juta euro kepada Manchester City untuk membawa Sane balik ke Bundesliga. Sane memulakan kariernya di Schalke 04.

Tekanan adalah tinggi ke atas pemain berusia 24 tahun itu untuk menunjukkan kualiti bintang yang dituntut oleh Bayern dan merealisasikan potensinya.

Sane kadang-kadang ada tabiat tidak memberi tumpuan dalam perlawanan dan jurulatih Bayern, Hansi Flick, sudah mencabarnya untuk memperbaiki pertahanannya.

“Saya ada matlamat besar bersama FC Bayern - dan saya mahu menunjukkan bahawa orang dapat bergantung sepenuhnya kepada saya,” kata Sane.

JUDE BELLINGHAM (Borussia Dortmund)

Pemain antarabangsa remaja England berusia 17 tahun ini menjadi penjaring termuda dalam Piala Jerman pada Isnin lepas ekoran perpindahannya bernilai 26 juta euro dari Birmingham City apabila Duisburg ditewaskan 5-0 dalam Piala Jerman.

Pemain tengah yang mahir itu sudah membuat rakan sepasukannya kagum dengan kematangannya, walaupun dia hanya akan berusia 18 tahun pada Jun tahun depan.

“Dia hanya 17, tetapi dia bermain seperti seorang lelaki dewasa,” kata penyerang Dortmund, Thorgan Hazard, selepas penampilan sulung Bellingham.

“Dia adalah seorang pemain yang sangat bagus untuk menjaga keseimbangan di antara serangan dan pertahanan. Dia dapat membantu kami dengan banyak.”

Bellingham dijangka akan bermain bersama pemain sayap England, Jadon Sancho, dan penyerang Norway berusia 20 tahun Erling Braut Haaland.

HWANG HEE-CHAN (RB Leipzig)

HWANG HEE-CHAN
HWANG HEE-CHAN

Penyerang Korea Selatan ini telah ditandatangani dari kelab tetangga Red Bull Salzburg dengan harga 15 juta euro dan mempunyai tugasan yang sukar untuk menggantikan tempat Timo Werner, yang menjaringkan 34 gol pada musim lepas sebelum dia menyertai Chelsea.

Pemain berusia 24 tahun itu dianggap sebagai “antara bakat terbesar yang sedang meningkat naik di Korea Selatan” oleh bekas ketua jurulatih Leipzig dan Salzburg, Ralf Rangnick.

Dia sudah membuka akaun jaringan untuk Leipzig dengan satu gol dan mencipta satu lagi dalam kemenangan 3-0 ke atas Nuremberg dalam Piala Jerman pada Sabtu lepas.

Hwang menjaringkan hanya dua gol sahaja dalam 21 penampilan di kelab divisyen kedua Hamburg sebagai pemain pinjaman yang mengalami kecederaan pada musim 2018/19.

Bagaimanapun dia berjaya menyumbat 16 gol dan mencipta 22 gol dalam 40 perlawanan pada musim lepas untuk membantu Salzburg memenangi piala dan liga Austria.

Dia mengagumkan di atas pentas Liga Juara-Juara pada musim lepas, dengan menjaringkan tiga gol dan mencipta lima lagi pada peringkat kumpulan, di sisi bintang masa depan Dortmund, Haaland, apabila Salzburg memberi cabaran yang hebat kepada Liverpool dan Napoli.

TAHITH CHONG
TAHITH CHONG

TAHITH CHONG (Werder Bremen)

Bremen mengelak relegasi dengan tipis pada musim lepas, tetapi sudah menguatkan jentera serangan mereka dengan menandatangani pemain sayap berusia 20 tahun sebagai pemain pinjaman dari Manchester United (MU).

Pemain antarabangsa Bawah 21 Belanda yang berpotensi besar dari Pulau Curacao di rantau Caribbean itu sudah meledakkan jaringan untuk Bremen.

“Membantu pasukan dengan kualiti anda sendiri - itulah apa yang anda mahukan,” kata Chong selepas menjaringkan gol dalam penampilan sulungnya pada hujung minggu lepas dalam kemenangan 2-0 ke atas Carl Zeiss Jena dalam Piala Jerman.

Chong mengikuti langkah Ryan Giggs, Paul Scholes dan Marcus Rashford apabila dia dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik MU bagi musim 2017/18 dan kemudian dipilih sebagai pemain pasukan simpanan terbaik pada musim berikutnya.

Dia dipilih untuk menyertai pasukan utama MU di bawah Ole Gunnar Solskjaer pada separuh kedua musim 2018/19 dan mahu bermain bola sepak secara tetap bersama pasukan utama di Bremen pada musim ini.

Dia berharap untuk membuat penampilan sulungnya dalam Bundesliga di stadium sendiri menentang Hertha Berlin pada malam ini (Sabtu).

REINIER

(Borussia Dortmund)

Reinier Jesus Carvalho, 18, telah ditandatangani sebagai pemain pinjaman selama dua tahun dari Real Madrid untuk menambah pilihan di bahagian tengah Dortmund.

Pemain antarabangsa Bawah 23 Brazil itu akan bersaing dengan Julian Brandt dan bintang remaja dari Amerika Syarikat, Giovanni Reyna, 17, untuk peranan selaku timbalan kepada kapten kelab Marco Reus, yang sedang berusaha untuk pulih daripada kecederaan.

Reiner membuat penampilan sulungnya untuk Dortmund dalam kemenangan besar ke atas Duisburg pada Isnin lepas sebagai pemain gantian untuk Sancho pada separuh masa kedua.

“Reiner merupakan pemain yang membawa bakat yang amat besar dan dapat digunakan di pelbagai posisi dalam serangan,” kata pengarah sukan Dortmund, Michael Zorc.

“Kami telah memerhatikannya selama lebih dua tahun.” — AFP

Advertisement