Anda di sini

Anthony Hopkins hayati watak lelaki demensia dalam ‘The Father’

Advertisement
 

MEYAKINKAN legenda filem Anthony Hopkins untuk berlakon dalam filem sulung anda adalah sesuatu yang mencabar bagi mana-mana pengarah.

Tetapi Florian Zeller, seorang penulis terkenal dari Perancis yang mengadaptasikan pementasannya sendiri ‘The Father’ untuk skrin besar, begitu berazam sekali, malah dia mengubah nama dan tarikh lahir watak utamanya kepada nama dan tarikh lahir pelakon lelaki utama impiannya.

“Saya benar-benar menulis skrip untuknya. Dia adalah keinginan dan impian saya,” kata Zeler kepada AFP.

“Selagi belum ada orang datang dan berkata ia adalah mustahil, ia bermakna bahawa ia berpotensi tidak mustahil.”

Nasib baik langkah itu berhasil, dan pelakon ‘Silence of the Lambs’ itu menandatangani kontrak, selain seorang lagi pemenang Anugerah Akademi Olivia Colman sebagai anak perempuannya untuk drama demensia Zeller yang hebat.

Filem itu, yang mengandungi unsur-unsur genre seram dan aksi, membawa penonton dalam perjalanan yang sengaja mengelirukan di dalam minda Anthony yang semakin cepat hilang.

Anggota keluarga menjadi tidak dapat dikenali, dan orang asing yang terlalu biasa muncul tanpa dapat diterangkan di dalam pangsapurinya yang mewah di London, yang sendirinya nampak beurbah di depan matanya, dan mata kita.

“Dia sangat terkenal bagi watak di mana dia sentiasa mengawal segalanya,” kata Zeller, mengenai Hopkins.

“Saya berpendapat ia pasti hebat untuk melihat orang yang sama sekarang mula hilang kawalan... dalam satu segi, untuk melepaskan apa yang kita tahu mengenainya, wajah Hannibal Lecter ini.”

- ‘SEMUA KAMI MENANGIS’ -

Filem itu ditayangkan di Festival Filem Toronto baru-baru ini setelah reviu yang amat baik di tayangan perdananya di Sundance pada Januari lalu. Ia dijadual dikeluarkan oleh Sony Pictures Classics pada Disember.

Tujuh bulan sebelum Anugerah Oscar, Hopkins sudah pun dilihat oleh ramai sebagai taruhan yang selamat bagi pencalonan Akademi keenam.

Apabila keadaannya yang sebenar terbongkar, Hopkins mempamerkan pelbagai julat emosi yang menakjubkan, daripada paranoia dan kemarahan kepada kekecewaan dan keruntuhan emosi.

“Dia adalah guru subteks. Saya selama ini mengagumi cara dia menggunakan kata-kata, untuk menimbulkan bahaya, kegelisahan,” kata Zeller.

Pelakon dari Wales berusia 82 tahun itu pernah bercakap tentang tumpuan kepada kehidupannya sendiri yang tidak abadi supaya dia dapat membawa watak tersebut.

“Anthony merupakan seorang pelakon yang mengikuti naluri hati, dalam satu segi, dia menggunakan naluri hati lebih daripada perkara lain, jadi banyak kali, ‘take’ pertama adalah lebih bagus,” kata Zeller.

“Ia umpama magik. Semua kami menangis di set penggambaran.”

Ia merupakan perjalanan yang jauh dari pementasan asal bahasa Perancis dari Zeller, ‘Le Pere’, yang berdasarkan pengalaman bersama neneknya yang membesarkannya tetapi mula mengalami demensia ketika Zeller berusia 15 tahun.

Terjemahan pentas yang lancar dalam bahasa Inggeris menarik perhatian kepada Zeller di seberang Terusan Inggeris dan seterusnya di Amerika Syarikat.

Filem itu akan tiba lebih lapan tahun selepas pementasan itu muncul buat pertama kalinya di Paris, di dunia yang sudah berubah.

“Dengan apa yang kita alami sekarang dengan virus, apabila anda melihat datuk kita, bapa kita, nenek kita, begitu rapuh, saya rasa kita masih sangat bimbang dan ada kaitan dengan kerapuhan hidup,” kata Zeller.

Tetapi walaupun topiknya sangat berat, filem itu sama sekali tidak suram.

Hopkins memenuhi watak nakalnya dengan kelucuan dan daya tarikan, cuba memikat tanpa segan-silu Laura yang muda (Imogen Poots), yang terbaharu dalam barisan panjang penjaganya yang tertekan.

Muzik juga memainkan peranan penting.

Zeller meyakinkan komposer legenda Ludovico Einaudi untuk mencipta skor bagi filem itu. Komposer dari Itali itu turut mencipta skor bagi filem saingan yang berpotensi memenangi anugerah Oscar pada tahun ini ‘Nomadland’.

Selepas Hopkins menyuarakan sayangnya kepada ‘The Pearl Fishers’ ciptaan Bizet, Zeller memasuki satu aria ke dalam skrip yang turut menyaksikan Anthony bersenandung dan menari sambil mengiringi muzik klasik pada waktu kejelasan dan sambil lewat di dapurnya.

“Saya menunaikan impian itu kerana dia menunaikan impian saya,” kata Zeller. — AFP

Advertisement