Anda di sini

Bung nafi tandatangan SD

Advertisement
BUNG
BUNG

KOTA KINABALU : Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Sri Bung Moktar Radin sekali lagi menafikan dakwaan beliau adalah  antara 10 Ahli Parlimen UMNO yang mengemukakan akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegas Pengerusi Barisan Nasional Sabah  itu, bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang pemimpin politik untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk SD.

Menurut beliau sokongan  tersebut akan menentukan pembentukan kerajaan dalam sesebuah negara.

"(Perkara untuk) mendapatkan SD bukan mudah sebab ia akan menentukan (kerajaan) sesebuah negara.

"Soal nama saya dikaitkan itu, saya tidak tahu. Saya sudah buat kenyataan bulan lalu yang tidak pernah beri sokongan kepada mana-mana pihak.

"Yang penting kita secara individu tidak pernah menyokong mana-mana pihak termasuk Anwar untuk jadi ketua negara," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Bung yang juga Ketua Umno Sabah berkata dakwaan yang mengaitkan namanya adalah spekulasi pihak tidak bertanggungjawab.

"Mungkin pihak tertentu sengaja mahu buat spekulasi. Saya rasa banyak lagi kerja lain untuk saya buat khususnya menumpukan kepada masalah rakyat," katanya.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, meminta isu yang tidak baik perlu dihentikan segera kerana ia mengelirukan rakyat.

"Walaupun negara kita adalah negara demokrasi dan media sosial (bebas) untuk disalah guna, hentikan perkara tidak baik yang mengelirukan rakyat.

"Jika benar pihak yang mendakwa itu cukup majoriti, bawa SD itu dan persembahkan kepada Al-Sultan Abdullah. Tidak perlu buat kenyataan.

"Sesiapa yang ada keyakinan diri, bawa dan menghadap (Al-Sultan Abdullah). Jangan pula buat permohonan menghadap dengan tangan kosong," Tambah Bung.

Semalam, sumber memberitahu Astro AWANI bahawa Anwar dikatakan sekali lagi akan cuba meyakinkan Al-Sultan Abdullah bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Sumber yang dekat dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu memberitahu Astro AWANI, bahawa beliau sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk SD.

Advertisement