Anda di sini

PM lancar Yayasan Keluarga Malaysia bantu anak-anak muda terkesan COVID-19

Advertisement
Ismail Sabri berucap pada majlis pelancaran Keluarga Malaysia, malam tadi. 
Ismail Sabri berucap pada majlis pelancaran Keluarga Malaysia, malam tadi. 

KUCHING: Yayasan Keluarga Malaysia yang berperanan sebagai institusi membantu anak-anak Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dilancarkan malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui yayasan itu, anak-anak Keluarga Malaysia berpeluang memperoleh sokongan terutama dari aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.

“Yayasan Keluarga Malaysia merupakan manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia yang kita zahirkan bersama untuk anak-anak yang terkesan pandemik. 

“Seterusnya, yayasan ini akan melebar sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia yang lain, yang turut memerlukan sokongan seumpamanya. 

“Inilah maksud keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Keluarga Malaysia di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat menginsafi kisah 13 anak yang masih kecil usianya daripada dua buah keluarga, hilang tempat bergantung dan berpaut kasih semasa pandemik ini.

“Adik Nazurah Nabilah binti Benyajeed, berusia 19 tahun yang terpaksa menjaga tujuh adiknya, manakala adik Hadrami bin Hasil menjadi kepala keluarga pada usia 11 tahun, untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama 4 adiknya. Ironinya, adik bongsu Hadrami baru berusia tiga tahun,” katanya.

Menurutnya, anak-anak ini adalah antara 5,173 anak Keluarga Malaysia yang menjadi yatim dan yatim piatu kerana wabak COVID-19. 

“Bayangkan, betapa besarnya tanggungjawab yang digalas mereka. Yang hilang bukan sahaja ibu bapa, bahkan waktu-waktu bahagia, membesar sebagai kanak-kanak biasa.

“Maka, dengan rasa rendah diri, saya ingin menyeru seluruh Keluarga Malaysia, untuk berkongsi kasih sayang dengan anak-anak ini, agar mereka dapat menikmati kehidupan seperti rakan- rakan seusia mereka,” ujarnya.

Beliau berharap dengan adanya Yayasan Keluarga Malaysia, tidak ada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian.

  • oleh
  • Advertisement