Anda di sini

Penduduk Penampang disaran sertai gotong royong perdana

Advertisement
 Gordon (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Stanley.
SUMBANGAN: Gordon (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Stanley.

PENAMPANG: Penduduk di daerah ini disaran untuk turun menyertai program gotong royong perdana yang akan dianjurkan oleh Pejabat Daerah Penampang pada 20 November depan

Program tersebut melibat 54 kampung di daerah ini yang akan di Dewan Raya Ambrose Dumpangol di Kampung Koidupan, Tinduuzon, di sini.   

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bahagian Penampang, Gordon Horace Chin berkata program itu diharap dapat sambutan dalam kalangan penduduk terutamanya golongan belia.

“Belia di daerah ini diminta untuk bersatu padu dan meluangkan masa bagi menyemarakkan lagi program yang dianjurkan itu.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong atas usaha untuk menganjurkan program yang sangat bermanfaat ini,” katanya.

Terdahulu, Gordon menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,800 daripada Naib Ketua ARMADA Nasional merangkap Ketua ARMADA Penampang, Ceasar Mandela Malakun untuk program tersebut.

Sumbangan itu diserahkan kepada Penolong Pegawai Daerah, Stanley Sikolis untuk diagihkan kepada 54 kampung iaitu RM200 setiap kampung.

Gordon turut menyampaikan pesanan Ceasar bahawa program itu adalah satu platform yang baik bagi memupuk rasa tanggungjawab dan kerjasama di dalam komuniti.

Menurutnya, ARMADA Penampang sangat berbangga untuk memberikan sumbangan dan menyertai program tersebut kerana kecintaan terhadap daerah ini bukannya sebab politik.

Dalam pada itu, Ceasar turut mengucapkan terima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO), parti Politik, individu dan sukarelawan yang telah membantu usaha pemulihan pasca banjir di Penampang.

“Kami juga menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang telah menyumbangkan lebih RM1 juta kepada mangsa banjir di Penampang.

“Saya difahamkan setiap keluarga mangsa banjir telah menerima RM1,000 bagi membantu pembinaan semula rumah yang telah musnah akibat banjir.

“Justeru, sumbangan itu membuktikan bahawa Ketua Menteri Sabah adalah pemimpin yang sangat prihatin dengan nasib rakyatnya,” katanya.

Sementara itu, Stanley mengucapkan terima kasih kepada ARMADA serta seluruh kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Penampang kerana memberikan sokongan yang berterusan.

“Kami sangat mengalu-alukan sumbangan daripada pemimpin anak muda, sekali gus memberikan sokongan moral dan motivasi kepada seluruh penduduk di daerah ini.

“Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin dengan nasib penduduk di daerah Penampang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement