Anda di sini

PBDS pertimbang untuk bertanding pada PRU15 

Advertisement

Sudah kenal pasti beberapa konstituensi mempunyai sokongan baik daripada Dayak

Bobby (duduk, tengah) bersama ahli-ahli parti pada Perhimpunan Mesyuarat Agung 2022 PBDS di Sibu, hari ini.
Bobby (duduk, tengah) bersama ahli-ahli parti pada Perhimpunan Mesyuarat Agung 2022 PBDS di Sibu, hari ini.

SIBU: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mempertimbang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya Bobby William berkata, PBDS sudah mengenal pasti beberapa konstituensi yang mempunyai sokongan baik daripada kalangan masyarakat Dayak.

"Ya, kita mempertimbang perkara tersebut. Sama ada kita menyertainya (PRU15) atau tidak, ia ditentukan nanti.

"Bagaimanapun, kita sudah mengenal pasti beberapa konsituensi mempunyai sokongan kuat," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Mesyuarat Agung 2022 PBDS di sini semalam.

Bobby ketika ditanya mengenai konstituensi mana PBDS akan bertanding, enggan mendedahkannya.

"Di mana kerusi kita akan bertanding, kami enggan mendedahkan terlebih dahulu. Bila tiba masanya kita maklumkan. 

“Tetapi, kita mempertimbang bertanding dengan lebih terperinci selepas ini sama ada mengambil bahagian atau tidak pada PRU15 nanti," jelasnya.

Bercakap mengenai resolusi pada mesyuarat kali ini, Bobby berkata parti itu mewujudkan tiga jawatan Timbalan Presiden dengan portfolio berbeza bagi sesi 2022-2025.

Jelasnya, tiga Timbalan Presiden dipilih ialah Mejar (B) Moses Ripai bertanggungjawab terhadap integriti, disiplin dan kebajikan, Julius Enchana (belia dan strategi politik) dan Kipli Ayom (kewangan, pelaburan dan sumber).

Selain mewujudkan tiga timbalan, beliau memberitahu bahawa parti itu bersetuju menggunakan nama PBDS iaitu menggugurkan perkataan 'Baru' sebagaimana sebelum ini parti dikenali sebagai PBDS Baru.

Dalam pada itu, PBDS terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti atau pakatan pembangkang. 

Katanya, PBDS juga bersetuju memindahkan ibu pejabatnya dari Sri Aman ke Sibu Jaya.

"Antara resolusi kita perolehi pada mesyuarat kali ini ialah menggesa kerajaan memperhalusi tatacara pelantikan ketua kaum tidak menggunakan pelantikan berasaskan platform politik dan mempercepat isu mengiktiraf pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dimasukkan dalam pemilikan Kanun Tanah Sarawak," jelasnya.

Selain pelantikan tiga timbalan presiden, Setiausaha Agungnya disandang Sai Melaka, Saini Kakong (Bendahari), Andrew Bungie Ipang (Ketua Penerangan), Robert Saweng (Ketua Pemuda) dan Susan George (Ketua Wanita).

Seramai 38 orang daripada pelbagai etnik Dayak dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

PBDS turut melantik Mengga Mikui sebagai pengerusi tetap manakala Christopher Sawan selaku penasihat undang-undang.

Setakat ini, PBDS mempunyai seramai 978 ahli dari seluruh negeri ini.

Advertisement