Anda di sini

Majlis Daerah Siburan ditubuh bagi memudah dan melancarkan pentadbiran

Advertisement
Abang Johari melepaskan belon sebagai simbolik perasmian Kompleks Sukan SJK Chung Hua Siburan. - Gambar Roystein Emmor
Abang Johari melepaskan belon sebagai simbolik perasmian Kompleks Sukan SJK Chung Hua Siburan. - Gambar Roystein Emmor

SERIAN: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Majlis Daerah Siburan akan ditubuhkan bagi memudah dan melancarkan pentadbiran di daerah itu.

Beliau berkata penubuhan Majlis Daerah Siburan susulan status Siburan telah dinaik taraf sebagai daerah penuh berkuat kuasa 31 Mac 2021.

"Saya mengucapkan tahniah kepada penduduk Siburan kerana kawasan ini telah dinaik taraf daripada daerah kecil kepada daerah (penuh). Apabila sudah berstatus daerah, apa pembangunan yang seterusnya diperlukan?

"Sudah tentu, majlis daerah. Kita akan menubuhkan majlis daerah (Siburan), kalau sudah ada majlis daerah, maknanya ahli majlis akan dilantik untuk mentadbir daerah Siburan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Sukan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Siburan di sini, hari ini.

Abang Johari berkata bagi melancarkan pengurusan dan pentadbiran di daerah Siburan, kerajaan negeri juga katanya akan membangunkan kompleks pentadbiran di situ.

Kompleks itu katanya akan menempatkan pejabat Pegawai Daerah serta agensi-agensi kerajaan negeri yang menawarkan perkhidmatan kepada penduduk di situ.

Menurutnya apabila sudah dinaikkan kepada daerah, infrastruktur di Siburan perlu dipertingkatkan, termasuk pegawai-pegawai kerajaan yang akan menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat.

"Maka Siburan hari ini, sudah ada DO (Pegawai Daerah). Kalau sebelum ini (penduduk Siburan) bergantung kepada Serian, kalau ada urusan dengan DO, perlu ke Serian, sekarang tidak perlu lagi.

"Apabila sudah dinaikkan, sudah tentu pejabat pentadbiran akan dibangunkan dan agensi-agensi ditempatkan di situ. Jadi bermakna kita akan membangunkan kompleks pentadbiran di Siburan.

"Ini akan kita laksanakan...sudah tentu akan ambil masa. Ia tidak dapat dilakukan serta-merta. 

“Kita sudah membuat perancangan, pada 2023 kita telah memberikan peruntukan khas untuk Siburan bagi membangunkan kompleks pentadbiran," katanya.

Selain itu katanya kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan menambah jumlah ketua masyarakat bagi bahagian Serian termasuk mewujudkan jawatan temenggung.

Beliau turut memberitahu, kerajaan negeri akan menaik taraf Dewan Masyarakat Siburan dan peruntukan bagi tujuan itu akan diumumkan kemudian.

Terdahulu Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga pengerusi penganjur majlis Datuk Dr Jerip Susil berkata Kompleks Sukan SJK Chung Hua Siburan dibangunkan dengan sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM2.1 juta.

Kompleks sukan itu dilengkapi pentas dan trek larian termasuk infrastruktur lain pada mulanya dijadual siap pada awal 2020, bagaimanapun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

"Kita bersyukur kerana projek ini dapat disiapkan sepenuhnya pada April 2022. Ia amat penting tidak hanya untuk kegunaan murid sekolah ini tetapi kegunaan orang ramai," katanya.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Martin Ben, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin dan calon GPS di Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Advertisement