Anda di sini

Lapan AMT dipecat, PBDS alami pergolakan dalaman

Advertisement

Lebih mengeruhkan keadaan Bobby dan Kipli umum peletakan jawatan selepas melakukan pemecatan 

 

"Dalam surat diterima kami itu, parti memaklumkan pemecatan kami dibuat ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi PBDS pada 26 Mac lalu di Ibu Pejabat PBDS di Sibu Jaya selaras dengan perlembagaan parti dalam minit mesyuarat kononnya.” 

Sai Malaka 
Bekas Timbalan Presiden

Oleh Watt Zacchaeus
 
SIBU: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mengalami pergolakan dalaman apabila lapan Ahli Majlis Tertingginya (AMT) dipecat secara tidak beretika.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila Presiden PBDS Bobby William dan Setiausaha Agungnya Kipli Ayom mengumumkan peletakan jawatan masing-masing selepas melakukan pemecatan itu.

Lapan ahli dipecat ialah Sai Malaka (Timbalan Presiden), Emelia Ambrose (Naib Presiden), Entusa Iman (AMT), Sawing Kedit (Naib Presiden), Robert Saweng (Ketua Pemuda), Susan George (Ketua Wanita), Tonny Sepawi (AMT) dan Ismail Lumut (AMT).

Semua mereka tidak menerima Surat Tunjuk Sebab (STS) berhubung punca pemecatan itu.

Sai berkata, mereka menerima surat daripada presiden tentang pemecatan itu pada 18 April 2023 lalu melalui surat dikeluarkan oleh Kipli dan kemudian disusuli dengan satu surat lagi daripada Presiden Bobby pada 20 April 2023. 

"Dalam surat diterima kami itu, parti memaklumkan pemecatan kami dibuat ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi PBDS pada 26 Mac lalu di Ibu Pejabat PBDS di Sibu Jaya selaras dengan perlembagaan parti dalam minit mesyuarat kononnya.

"Namun apabila diminta mengemukakan minit mesyuarat tersebut, mereka gagal memberikannya kepada kami walaupun sudah diberi tempoh.

"Lebih mengejutkan tidak lama selepas itu, Bobby dan Kipli masing-masing memaklumkan kepada kami mereka letak jawatan," katanya di sini hari ini.

Beliau menjelaskan secara automatiknya 18 AMT dilantik oleh presiden semasa Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) dahulu terbatal atau terhenti berikutan peletakan jawatan presiden.

Sai turut mempersoalkan mesyuarat yang berlangsung itu kerana diragui lebih-lebih melakukan pemecatan AMT tanpa alasan (STS) dan jangka masa mempertahan diri tidak diberi langsung. 

"Pada masa itu, saya tidak dapat hadir kerana ada masalah tidak dapat dielakkan dan memaklumkan ketidakhadiran saya kepada parti. 

"Mesyuarat melakukan pemecatan ke atas kami dan pemecatan kami tiada alasan munasabah kenapa kami dibuat begini, pemecatan tersebut juga bukan dalam agenda utama kerana tiada pralaporan diberitahu" katanya.

Beliau berkata, jika Bobby dan Kipli betul-betul meletak jawatan kenapa tidak mendedahkan kepada umum. 

Ini tegasnya, sudah melanggar etika dan integriti sebagai seorang ketua parti yang diberi penuh harapan dan sokongan oleh ahli-ahli parti. 

Menurutnya, dengan peletakan jawatan presiden dan setiausaha agung maka jawatankuasa tertinggi dilantik PBDS juga terbubar secara automatik.

"Sepatutnya ada hitam putih tentang peletakan jawatan mereka supaya PBDS boleh melantik atau memilih pemangku presidennya.

"Ini tidak, pengumuman hanya dibuat melalui mesej dalam aplikasi WhatsApp secara dalaman sahaja," katanya.

Sai berkata, pihaknya membawa perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menjalankan siasatan terhadap PBDS.

"Kita mohon ROS campur tangan terhadap perkara ini supaya siasatan dijalankan secara adil.

"Pemecatan melalui cara sedemikian sangat tidak sesuai dan kemudian Bobby dan Kipli pula mengumumkan peletakan jawatan mereka," jelasnya.

Advertisement