Anda di sini

Sukan tempur kini diklasifikasikan sebagai sukan di sekolah: Ling

Advertisement
LING
LING

MIRI: Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) Alan Ling memaklumkan bahawa sukan tempur kini diklasifikasikan sebagai salah satu aktiviti sukan sekolah berbanding aktiviti badan beruniform sebelum ini.

“Sukan tempur dikategorikan semula daripada aktiviti badan beruniform kepada sukan berdasarkan Jadual 1, Akta Pembangunan Sukan 1997,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada Isnin.

Ling berkata, ia merupakan satu perkembangan yang positif dan berita baik bagi peminat peminat sukan tempur, dan klasifikasi baharu menunjukkan keprihatinan dan komitmen Kementerian Belia dan Sukan terhadap sukan tempur yang telah banyak mengharumkan nama negara di temasya antarabangsa.

“Sukan tempur ini juga dikenali sebagai sukan pertarungan di mana ia melibatkan pertempuran satu lawan satu seperti taekwondo, muay thai, judo, wushu serta seni mempertahankan diri yang lain,” jelas Ling.

Ling berkata, klasifikasi itu bagi memastikan bakat baharu atlet sukan tempur di sekolah dapat dicungkil di peringkat akar umbi dan seterusnya mendapat pengiktirafan yang setara dengan sukan-sukan lain selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

“Klasifikasi sukan tempur sebagai aktiviti sukan di sekolah ini telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Sukan pada awal bulan ini, jelas Ling lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap agar sukan ini mendapat sambutan daripada pelajar di sekolah agar menjadi salah satu sukan yang boleh mengharumkan nama Malaysia pada masa akan datang.
 

Advertisement