Anda di sini

Program RTK 2.0 mampu selesaikan isu pekerja haram, PATI di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Pengumuman Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 merupakan satu cara baik dan progresif untuk menyelesaikan pekerja haram atau pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Cawangan Kuching Datuk Sim Kiang Chiok berkata, dengan program itu, ia juga membantu menyelesaikan kekurangan buruh yang dihadapi sektor berkaitan.

"Pada pendapat peribadi saya, program RTK 2.0 yang diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak semalam (Rabu) merupakan satu cara yang baik dan progresif untuk menyelesaikan pekerja haram dalam pekerjaan 3D melalui latihan penentuukuran semula Buruh RTK 2.0.

"Program ini boleh meningkatkan bekalan dalam sektor 3D yang memerlukan pekerja dan di mana buruh tempatan kita tidak berminat untuk bekerja," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengumuman Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala bahawa majikan di Sarawak yang terlibat dalam sektor kotor, berbahaya dan sukar atau 3D boleh mendaftarkan PATI sedia ada bekerja secara sah menerusi program RTK 2.0.

Sim berkatam program sedemikian dapat membantu kerajaan negeri untuk mempunyai rekod yang lebih komprehensif tentang semua pekerja asing di Sarawak.

"Atas dasar kemanusiaan pekerja haram ini boleh bekerja di sini dengan hak undang-undang mereka dilindungi apabila mereka ditentu ukur semula.

"RTK 2.0 juga bagus kerana ia membantu mengurangkan kos kerana majikan perlu mendaftarkan pekerja mereka terus  dengan Jabatan Imigresen dan Buruh di Sarawak," katanya.

Menurut beliau, majikan juga tidak perlu menggunakan ejen untuk mendaftarkan pekerja asing berkenaan.

Tambahnya, PATI di Sarawak boleh didaftarkan dan diambil bekerja dalam sektor 3D dari 16 negara yang diluluskan.

"Dengan RTK 2.0 dan peraturan yang lebih longgar dan diharapkan keperluan buruh atau modal insan kita yang diperlukan untuk mencapai negeri maju menjelang 2030 direalisasikan dalam tempoh masa yang ditetapkan," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement