Anda di sini

Penubuhan MPIA mampu wujudkan ekosistem tenaga lebih mampan di Sarawak: Julaihi 

Advertisement
Julaihi (enam kiri) merasmikan hari kedua SAREF 3.0 di BCCK, hari ini. Turut kelihatan Muhammad Abdullah (lima kiri). - Gambar Chimon Upon
Julaihi (enam kiri) merasmikan hari kedua SAREF 3.0 di BCCK, hari ini. Turut kelihatan Muhammad Abdullah (lima kiri). - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Penubuhan Persatuan Perusahaan Photovoltaic Malaysia (MPIA) Bahagian Sarawak mampu mewujudkan ekosistem tenaga yang lebih mampan di negeri ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, kewujudan badan berkenaan sebagai permulaan dalam era baharu menerusi kerjasama, inovasi dan advokasi pelbagai pihak dalam sektor photovoltaic.

"Ia selaras dengan visi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyasarkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa besar dalam pengeluaran dan penggunaan tenaga solar.

"Sehubungan itu, saya berbesar hati memperkenalkan satu kuasa transformatif dalam bidang tenaga boleh diperbaharui di Sarawak iaitu MPIA Bahagian Sarawak," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada perasmian hari kedua Forum Tenaga Lestari dan Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF 3.0) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Julaihi berkata, MPIA Bahagian Sarawak mempunyai fokus tersendiri agar tenaga solar dapat dimanfaatkan.

"Salah satu fokus utama MPIA Bahagian Sarawak untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek Net Energy Metering (MEB) di seluruh Sarawak. 

"Menerusi komitmen, kerjasama dan advokasi, MPIA Bahagian Sarawak dapat memudahkan penggunaan projek MEB sekali gus membolehkan individu, perniagaan dan industri memanfaatkan faedah tenaga solar," ujarnya.

Sehubungan itu, selaras dengan misi MPIA Bahagian Sarawak, badan berkenaan mengajak pihak berkepentingan pelbagai sektor untuk bertukar pengetahuan sekali gus menyertai badan itu sebagai ahli.

"Kerjasama yang dipupuk itu akan menyumbang kepada pertumbuhan industri photovoltaic selain mendapat akses kepada rangkaian profesional industri, penyelidik, penggubal dasar dan inovator teknologi," jelasnya.

Mengenai SAREF 3.0, Julaihi menjelaskan kementeriannya perlu mengadakan kerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk menyediakan bekalan elektrik luar bandar dan pembangunan sosioekonomi di Sarawak.

"Usaha yang dilakukan oleh kementerian kami adalah untuk membekalkan tenaga sepenuhnya kepada Sarawak menjelang 2025 yang berteraskan pelaburan besar dalam pembangunan tenaga hidro boleh diperbaharui," tambahnya.

Menurutnya, SAREF ialah platform penting untuk mengetahui tenaga yang boleh diperbaharui, selain dapat mengenal pasti bidang kepentingan bersama dan membuka pintu bagi pakatan membentuk kerjasama baharu.

Jelasnya, ia penting bagi merealisasikan matlamat penggunaan elektrik domestik sepenuhnya kepada peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. 

Mengenai ekport tenaga ke Singapura, Julaihi pada sidang media memberitahu perbincangan dari semasa ke semasa diadakan di antara kerajaan Sarawak dan Singapura.

"Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) telah mengadakan perbincangan dengan Singapura berkaitan hal tersebut.

"Sarawak melalui SEB bersetuju membekalkan bekalan tenaga kepada Singapura sehingga 1,000 megawatt melalui kabel dasar bawah laut dan ia dalam proses," katanya sambil menambah ia juga seperti apa yang dilaksanakan di Kalimantan Barat, Indonesia pada masa ini.

"Selain Singapura, kita (kerajaan Sarawak) turut membekalkan tenaga elektrik ke Sabah dan negara jiran, iaitu Brunei Darussalam," tambahnya.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad Datuk Sarbini Suhaili dan tetamu jemputan lain.
 

  • oleh
  • Advertisement