Anda di sini

Setiap bahagian digesa cipta tanda acara

Advertisement


MTCP sedia dana untuk pelaksanaan acara yang perlu dipohon, diberi ikut skala besar atau kecil acara itu

Snowdan (tiga kanan) menerima cenderamata daripada Albert (dua kanan) sambil disaksikan Lo (tiga kiri) pada majlis itu malam tadi.
Snowdan (tiga kanan) menerima cenderamata daripada Albert (dua kanan) sambil disaksikan Lo (tiga kiri) pada majlis itu malam tadi.

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) menggesa setiap bahagian di Sarawak untuk mencipta tanda acara masing-masing.

Demikian kata Timbalan Menteri MTCP Datuk Snowdan Lawan ketika berucap pada Majlis Malam Koboi di Karnival Tahun Baharu Cina Batu Kitang yang diadakan malam tadi.

"Sarawak besar, kita harus seimbangkan penjanaan ekonomi secara sama rata dan MTCP sememangnya menyokong festival, pesta, karnival dan sebagainya untuk jana pendapatan rakyat.

"MTCP telah menyediakan dana untuk setiap pelaksanaan acara namun ia perlulah dipohon dan akan diberikan mengikut skala besar atau kecilnya acara tersebut," katanya.

Pada masa yang sama, beliau mendedahkan Sarawak telah menyasarkan empat juta kedatangan pelancong dan pengunjung menjelang penghujung tahun ini (2024).

Ia berikutan MTCP berjaya melangkaui rekod tiga juta kedatangan pengunjung dan pelancong ke Sarawak bagi tahun 2023 melebihi sasaran terdahulu pihaknya.

Usaha itu juga ujar beliau, akan membantu penduduk tempatan menjana pendapatan tambahan.

Tidak dapat dinafikan tambah Snowdan, Sarawak sejak lima tahun kebelakangan ini telah menyaksikan pelbagai tanda acara yang telah diadakan menjadi tarikan kepada para pengunjung.

Maka itu beliau berharap Karnival Tahun Baharu Cina Batu Kitang akan menjadi penganjuran sebuah majlis yang lebih besar pada masa mendatang.

"Sarawak mempunyai 34 suku kaum yang mempunyai keunikan kebudayaan dan makanan masing-masing, sudah pasti kita mempunyai kelebihan untuk ditampilkan kepada orang luar," katanya.

Terdahulu, penganjur Malam Koboi Karnival Tahun Baharu Cina Batu Kitang telah menerima tajaan sebanyak RM70,000 daripada MTCP dan beliau secara peribadi turut menambah lagi RM20,000.

Hadir sama adalah Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang dan Ahli Dewan Negara Senator Dato Ahmad Ibrahim.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Aloysius Kuyong, Setiausaha Agung DBNA Jubilant Austinway, Pengerusi Penggerak Kemajuan Kota Padawan Albert Lee dan pengerusi penganjur Zen Wong.Snowdan (tiga kanan) menerima cenderamata daripada Albert (dua kanan) sambil disaksikan Lo (tiga kiri).

Advertisement