Anda di sini

Sokong wakil rakyat bawa perubahan pembangunan 

Advertisement

Sokongan kuat, kukuh kepada wakil rakyat tempatan bawa perubahan nyata dalam pembangunan fizikal di sesebuah kawasan 

Lee bersama guru serta murid SK Tudan Jaya yang berpakaian serba merah melaungkan Gong Xi Fa Chai sempena Majlis Apresiasi dan Rimup SK Tudan Jaya di Miri hari ini.
Lee bersama guru serta murid SK Tudan Jaya yang berpakaian serba merah melaungkan Gong Xi Fa Chai sempena Majlis Apresiasi dan Rimup SK Tudan Jaya di Miri hari ini.

"Dahulu kawasan ini adalah hutan namun ia berubah kepada bandar satelit yang lengkap dengan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik serta bekalan gas.”

Dato Sri Lee Kim Shin
Menteri Pengangkutan Sarawak 

OlehMohamad Norhadie Sahari

MIRI: Sokongan yang kuat serta kukuh kepada wakil rakyat tempatan telah membawa perubahan nyata dalam pembangunan fizikal di sesebuah kawasan pentadbiran.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin mengakui kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin dahulu tidak seperti sekarang yang telah berubah wajah kepada bandar satelit.

"Dahulu kawasan ini adalah hutan namun ia berubah kepada bandar satelit yang lengkap dengan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik serta bekalan gas.

"Inilah kemajuan yang telah dicapai kerana ia adalah hasil sokongan kuat kepada saya dalam usaha untuk memohon kemudahan asas demi membangunkan kawasan ini," katanya. 

Lee yang juga ADUN Senadin berkata demikian pada Majlis Apresiasi dan Rimup Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan Jaya di sini hari ini.

Hadir sama ialah Guru Besar SK Tudan Jaya Suriyati Amit, Penolong Kanan Pentadbiran Siti Aisah Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Fabian William Story.

Rakyat Sarawak tambahnya, perlu mengekal tradisi hidup secara harmoni dan tenteram di bawah satu bumbung meskipun berlainan agama serta mengamal adat resam berbeza.

"Sarawak menjadi contoh sebuah negeri yang harmoni bukan sahaja di Malaysia malahan telah diiktiraf di seluruh dunia.

"Bahkan pelancong suka datang ke Sarawak kerana mereka menikmati budaya dan perayaan besar yang diraikan di Sarawak sepanjang tahun," jelasnya.

Ia termasuk perayaan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak, Krismas dan sebagainya yang diraikan bersama.

“Kita dapat hidup harmoni dan bersama meraikan perayaan setiap suku kaum menerusi rumah terbuka seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak dan Hari Krismas.

“Ia menjadi tradisi di negeri ini dan generasi muda harus belajar dan mewarisi keharmonian ini untuk diteruskan kepada generasi akan datang," jelasnya.

Beliau pada majlis sama mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM10,000 untuk sekolah dan RM15,000 untuk PIBG.
 

Advertisement