Anda di sini

Sambutan TBC akan masukkan dalam kalender acara tahunan Sarawak: Abdul Karim

Advertisement
Tun Dr Wan Junaidi turut hadir pada majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.-Gambar Chimon Upon
Tun Dr Wan Junaidi turut hadir pada majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.-Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang dilaksanakan di peringkat kerajaan bakal diletakkan dalam kalendar acara  sekali gus menjadi acara tahunan, di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana sambutan berkenaan dapat menjadi sumber perpaduan khasnya dalam kalangan berbilang kaum di Sarawak.

"Bagi saya sendiri, saya amat menyokong  kerana saya dapat melihat kebaikannya dan tahun ini ia (sambutan TBC)  pertama kali diadakan diperingkat negeri.

"Sebelum ini, sambutan ini hanya diadakan di peringkat parti dan persatuan tetapi ini adalah pertama kali diadakan di peringkat kerajaan dan tidak salah untuk diadakan tiap-tiap tahun seperti Hari Raya, Gawai dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

Kemeriahan majlis itu terserlah apabila ia dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang serta tetamu kenamaan yang lain.

Terdahulu, majlis tersebut dihadiri lebih 5,000 pengunjung pelbagai kaum bagi memeriahkan suasana sambutan berkenaan.
 

  • oleh
  • Advertisement