Anda di sini

PPM tahan enam individu masuk perairan negara secara haram

Advertisement
 Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna.
TANGKAP: Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna berjaya menahan enam individu selepas dikesan masuk ke negara ini secara haram, di perairan Tanjung Pantau-Pantau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.37 pagi itu, anggota PPM yang menjalankan tugas pemantauan di perairan berkenaan mengesan pergerakan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, pasukan operasi segera memintas dan menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat enam lelaki termasuk seorang juragan berada di dalam bot berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut pula, mendapati juragan dan empat penumpangnya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala seorang memiliki dokumen pemastautin tetap.

“Semua tangkapan mengaku dari Bongao Filipina dan penumpang pula dikenakan bayaran sebanyak 4,500 peso seorang,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan serta barang rampasan termasuk bot, enjin dan wang tunai asing 21,000 peso yang dianggarkan bernilai RM18,242 itu dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen Atipsom 2007,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement