Anda di sini

Aku Hilang dalam Ramadan

Advertisement
 
 


Oleh: Radzemah Bolhassan

TANPA sedar 55 tahun Ramadan datang dan pergi dalam hidupku. Datangnya aku akan berpuasa tanpa gagal. Bila Ramadan pergi, aku berasa sangat merdeka kerana tidak usah berlapar lagi. Lebaran pula aku sambut dengan luar biasa.
     Tetapi datangnya Ramadan kusambut sangat berbeza selepas angka usiaku itu. Bukan kerana faktor usia atau apa-apa sahaja yang boleh dikaitkan dengan perangaiku sebelum ini. Aku sendiri gagal untuk mendefinisikan semua itu.
     Biarpun terlalu banyak andaian yang menjengkelkan tetapi aku langsung tidak peduli. Dalam hatiku hanya ada rasa kesal!
     “Tak faham bahasa, ke? Kan dah cakap sebelum ni. Tak boleh cuti sebulan!” bentak Isa.
     Pegawai hal ehwal pekerja merenung wajahku. Tiada bicara, borang permohonan aku suakan beberapa kali agar dibantu akan tujuannya.
     Sambil merengus, “Tiga tahun dah kau suruh aku desak bos. Dia tak kan bagi. Malah aku diberusnya.”
     Aku sorong borang permohonan itu agar lebih dekat berada di hadapan Isa. Terus mengharap. 
     “Baik. Kali keempat dah ni. Hanya dapat cuti dua minggu tapi bos dah bagi aku amaran. Tak ada kali keempat tapi kau desak aku juga. Takut kali ni dia suruh kau cuti tanpa bergaji …,” duga Isa.
     Aku pantas mencelah, “Boleh.”
     Isa menggeleng. Tidak lama kemudian dia hilang. Aku menuju ke tempat sendiri untuk menyambung kerja. Dalam hati sangat berharap agar kali ini cutiku diluluskan seperti dalam borang permohonan.
     Aku tidak mahu berputus asa. Baru tahun keempat. Sedangkan Fatima tetap berusaha sampai ke nafasnya yang terakhir. Aku sangat kesal. Tidak sesiapa pun akan faham tentang balasan dosaku terhadap arwah Fatima.
     Rakan sekerja mula menjauh. Aimi, teman tetapi mesranya selama arwah Fatima masih hidup pun tidak mampu menjadi penawar. Perasaanku sudah tawar. Malah hampir semua orang pening dengan perangaiku apabila tibanya bulan Ramadan.
     “Tahulah isterinya meninggal sehari sebelum Ramadan tapi macamlah dia sorang yang pernah kehilangan.”
     “Tak reda tu.”
     “Orang tak beriman, gitulah gamaknya ye. Kalau beriman dia dah moved on. Tapi, asal Ramadan je mulalah dia macam orang sasau.” 
     “Orang lain nak beramal juga tapi tak seteruk dia. Entahlah, nak tunjuk apa. Alim sangatlah tu.”
     “Aku dah tak kenal dia kalau Ramadan tiba. Perangai dia lain. Dia macam hidup dengan dunia dia sendiri.”
     Semua bisik-bisik daripada rakan sekerja aku terima tanpa bantahan. Sesungguhnya mereka tidak tahu apa-apa yang berlaku antara aku, Fatima dan lima orang anak-anakku. Dan Fatima tidak pernah tahu apa-apa yang aku buat untuk mengelak semua permintaannya. Akhirnya aku hilang. Bukan hanya Fatima tetapi seluruh kehidupanku.
     Berat mata memandang, berat bahuku memikul dosa yang dirahsiakan. Aku berharap dapat memperbetulkan semuanya sebelum ia benar-benar terlambat. Apakan daya, hidayah itu milik Allah. Sama seperti aku, setelah Fatima dan anak-anak pergi, barulah aku sedar. Insaf. Taubat. 
     Telefon pintar di kocek berdering entah kali yang ke berapa. Aku tidak lagi berminat untuk berkongsi cerita dengan Aimi. Mesejnya setiap hari. Panggilannya selagi ada ruang. Munculnya untuk memujukku selagi ada peluang. Aku jadi rimas. Biarpun sebelum ini, apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Aimi akan aku dambakan.
     “You! You dah kenapa? You buang I macam sampah. Biarpun you dah tak perlukan I tapi I masih tetap seperti dulu.”
     Kupejamkan mata. Rasa mengalir dosaku tak pernah habis apabila membaca pesanan ringkas Aimi. Semuanya mengingatkan kepada dosaku terhadap Fatima dan anak-anak.
     Pada awal kematian Fatima, aku sudah jelaskan kepada Aimi yang dia tidak mahu lagi bercerita tentang kisah rumah tangganya. Tetapi Aimi terus mendesak dengan harapan aku masih sudi mendengar masalah dia. 
     Aku tidak dapat memahamkan Aimi tentang apa-apa yang merantai jiwaku. Aimi terus mendesak agar hubungan kami terus mesra dalam sembunyi dengan cerita tentang ketidakpuasan hati terhadap pasangan masing-masing. 
     Makan tahun aku habiskan ruang hidupku untuk bercerita dengan Aimi secara sembunyi. Rasanya hanya Allah sahaja yang tahu kejahatan kami itu. Aimi buka aib suaminya untuk didengar oleh aku. Dan aku membuka semua tentang Fatima yang aku tidak suka.
     Ada topik panas yang Aimi sampaikan sehingga aku merasakan akulah yang layak menjadi suaminya. Hanya aku yang kononnya faham setiap kehendaknya. Perkongsian kami semakin intim. Aku akan membuka topik tentang Fatima yang sangat aku benci. Sehingga mendatangkan rasa meluat Aimi kepada Fatima.
     Kami asyik dengan kisah di rumah masing-masing. Tanpa sedar kami sedang melakukan dosa dengan membuka aib pasangan. Entahlah, perkongsian cerita itu seolah-olah membawa kehidupan kami sangat ceria apabila berada jauh daripada pasangan masing-masing. 
     Isteriku Fatima, seorang pereka fesyen yang berjaya tetapi setelah melahirkan anak lelaki kembar aku suruh dia berhenti kerja. Kemudian Fatima melahirkan anak lelaki kembar lagi. Aku rasa bersyukur tidak usah risau soal anak-anak kerana Fatima ibu yang cekap. Tahun yang kelima, Fatima melahirkan puteri sulung kami. Betapa lengkapnya hidup kerana ada anak lelaki dan perempuan.
     Ketika anak-anak mula membesar, Fatima nampaknya sudah berubah. Fatima banyak menghabiskan masa luangnya dengan mendengar ceramah di media sosial. Akhirnya Allah bagi hidayah kepadanya. Fatima mula memakai tudung. Solat dijaga. Aku sangat perasan, Fatima sudah banyak berubah. Layanannya terhadapku sangat baik tetapi ketika itu aku lebih suka berhibur dengan cerita Aimi.
     Perubahan Fatima membuat aku rasa meluat kerana Fatima akan mengajak aku sekali. Aku rimas. Lemas. Aku tidak pernah melarang dia buat semua itu tetapi janganlah mendesak aku untuk ikut seperti dia.
     Bukannya aku tidak solat. Selama ini memang kami solat tetapi Fatima mahukan kami semua berjemaah. Fatima sangat serius dalam bab itu. Makan, riadah, solat dan seumpamanya tetap mahu bersama-sama.
     “Allah dah jadikan kita ramai macam ni kerana Dia nak kita berjemaah. Nanti akan tiba masanya kita akan tinggal keseorangan, ketika itu barulah kita boleh solat sorang-sorang. Makan sorang-sorang. Selagi ada ni, jomlah kita berjemaah,” ulas Fatima.
     Aku bantah, “Nak solat tak payah sibuklah tentang orang. Nantilah.”
     Fatima menambah, “Abang, inilah sebab Allah temukan jodoh kita. Bagi anak-anak agar kita dapat beribadat secara berjemaah. Lainlah kalau kita hidup sendiri.”
     Itulah isu yang aku kongsikan kepada Aimi sehingga aku menjatuhkan maruah Fatima di hadapan Aimi. Kami berdua saling mencemuh Fatima dan Razak, suami Aimi, dalam diam.
     Aku dan Aimi nampaknya sangat serasi bersama-sama sehingga mengabaikan tanggungjawab. Mengabaikan kemahuan pasangan kerana melebihkan pasangan orang lain. Ketika itu aku anggap Aimi itulah kekasih gelapku. Kami sama-sama hanyut dengan cara masing-masing untuk berasa gembira tanpa pasangan.
     Pun begitu aku dan Aimi pandai menyimpan dosa. Tidak akan ada seorang pun yang perasan. Aku sangat yakin kerana tidak pernah sekali kami dilihat hina oleh sesiapa pun. Sehinggalah Fatima dan anak-anak kemalangan dan pergi buat selamanya.
     Barulah aku sedar, Allah tidak pernah tidur. Allah telah menegur aku dengan aib yang masih ditutup. Fatima pergi tanpa tahu apakah aktiviti gelapku. Sedangkan aku sudah bertindak lebih daripada seorang suami yang zalim.
     Kerana aku tidak mahu diganggu dengan ayat berjemaah Fatima, aku yang berkemampuan telah membelikan dia dan anak-anak kereta khas untuk ke masjid, pasar raya, balik kampung dan seumpamanya. Kereta itu simbolik agar Fatima tidak menggangguku. 
     Lebih tepat lagi aku dengan urusanku dan Fatima dengan urusan Fatima.
     Bertahun Fatima hidup sendiri bersama-sama anak-anak. Aku sentiasa sibuk melayan telefon pintar dengan alasan bekerja dalam talian. Fatima tidak pernah syak wasangka terhadapku. Sehinggakan aku geli hati melihat kebodohan Fatima.
     Sekarang barulah aku sedar. Yang bodohnya aku. Yang berperangai syaitan itu juga aku. Yang rugi pun aku! Penyesalan tidak berguna. Biarpun aku dambakan Aimi tetapi dia tetap isteri Razak dan mereka tetap hidup bahagia di mata manusia lain. Sedangkan aku keseorangan terseksa dengan dosa lampau.
     Pintu bilikku diketuk. Kelihatan Isa datang. Wajahnya sugul. Aku tunggu apa-apa beritanya. Sambil duduk Isa berkata, “Hampir setengah jam bos membebel. Patutnya dia suruh kau masuk. Tapi dia larang kau masuk. Alasannya mudah, tak mahu bergaduh dengan kau. Jadi, akulah mangsa.”
     Aku terus renung wajah Isa.
     Isa menyambung lagi, “Kau ni kira bertuah. Bos macam tak suka sampai dia kata tak nak jumpa kau. Pun dia tak pecat kau. Aku tahulah kau pekerja cermerlang. Kiranya cermerlang kau tu dapat atasi rasa marahnya terhadap kau ketika Ramadan. Aku pun pelik. Kalau ada lagi pekerja macam kau, aku yang gila.”
     Aku tersengih. 
     Isa menjeling tajam sambil berlalu, “Kali ni … aku tak tahu kau suka ke tak. Kau dapat cuti penuh sebulan tapi bos tak bayar gaji. Ni, surat. Kau tandatangan. Nanti kau bagi aku.”
     Aku baca isi kandungan surat itu. Perjanjiannya menyatakan aku tidak dapat gaji sebulan. Hatiku terkedu. Benarlah kata Isa, suka ke tidak? Aku mahu cuti sebulan tapi aku akan dihimpit keseorangan. Aku bukannya tidak perlukan duit tetapi duitku itu hanya untuk aku seorang. Fatima dan anak-anak tidak ada lagi untuk aku biayai.
     Aku tandatangan surat perjanjian. Aku reda biarpun aku sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang aku mahu. Rumahku kosong sama seperti jiwaku. Duitku banyak tapi seolah-olah tiada erti lagi.
     Mukaku mula panas. Air mataku bertakungan. Aku cuba tahan air mata. Ramadan yang datang dua hari lagi tetap tidak mampu aku tempuh dengan tenang. Aku rasa aku perlu hilang dalam Ramadan. Aku malu dengan diri sendiri.
     Kalau sebelum ini semua masalahnya akan hilang jikalau ada Aimi. Sekarang semuanya sudah terbalik. Aimi bukan hanya gagal untuk menjadi penawar malah sekarang seperti racun jika terkenang.
     “Maafkan abang, Tim. Abang berdosa. Allah balas dosa abang dengan menarik rasa tenang ini. Abang tak tahu nak buat apa. Apa yang abang tahu, abang berdosa,” rintihku.
     Air mataku berderai. Tidak tertahan lagi menanggung erti dosa yang disimpan selama ini. Tambahan pula teringat helahku untuk lari daripada melayan Fatima dan anak-anak yang ternyata jijik. 
     Arwah Fatima lebih agresif untuk berjemaah ketika datangnya Ramadan. Tidak mahu terlepas walau sehari. Jikalau dia berhalangan, aku akan dipaksa untuk menjadi imam kepada anak-anakku. Sedangkan aku tidak berminat. Sehingga saat-saat akhir kematian mereka aku sanggup membiarkan anak sulungku yang belum baligh menjadi imam sedangkan aku ada.
     Oleh sebab itulah ketika Ramadan terakhir itu, aku arahkan Fatima dan anak-anak balik ke kampung tanpa aku. Malah aku paksa Fatima untuk tinggal di kampung selama sebulan. Berlaku sedikit pertengkaran antara kami kerana aku sanggup menyuruh anak-anak ponteng sekolah hampir seminggu. Maklumlah ketika itu cuti sekolah akhir tahun hampir tiba.
     “Firaz …” 
     Aku angkat wajahku untuk melihat tetamuku petang itu. Dadaku berkocak kencang. Berbaur pelbagai rasa. Tetapi aku cuba tenang.
     Nampaknya petang ini Aimi dapat bolos masuk ke dalam bilikku. Sebelum ini aku berjaya untuk mengelak daripada berhadapan sebegini dengan Aimi. 
     “I dengar you cuti sebulan. Kenapa? You dah berubah. Kenapa kita tidak terus kekal mesra macam dulu? You mesti bantu I. You tak boleh buat I macam ni,” luah Aimi.
     Aku cuba lari daripada melihat wajah sedih Aimi.
     Aimi menambah lagi, “Sejak Tim pergi, you buang I terus. I tak minta apa-apa pun. I rasa bosan. Sunyi.”
     “You baliklah,” pujukku lembut.
     “You suruh I balik mana? Apa kata kita bincang petang ni. Dah lama sangat you diam tanpa I tahu apa salah I,” ujar Aimi.
     “I minta maaf,” pohonku.
     “You tak salah apa-apa. I cuma nak kita macam dulu. Tak salah, kan?”
     “Salah,” jawabku.
     Tegas, Aimi tersentak.
     “Salah? I bukan nak minta apa-apa. I cuma nak macam dulu,” ujar Aimi.
     Air mataku terus menitis di hadapan Aimi. Pertama kalinya aku jatuh sendiri. Aku kasihan melihat Aimi yang belum diberi Allah kesedaran tentang dosa kami. Maka benarlah kata Aimi, aku perlu memperbetulkan keadaan sebelum semuanya terlambat. Sudah cukup dosa yang aku pikul dengan berpura-pura terhadap Fatima.
     “Kita dah tak boleh teruskan dosa-dosa yang kita sembunyikan. Kau cerita buruk suami kau. Aku cerita tentang buruk Fatima. Kita berdosa. Kau jangan menjadi seperti aku. Gagal meminta maaf sebelum Fatima pergi. Aku abaikan tanggungjawabku terhadap mereka kerana aku sibuk layan perasaan mesra kita,” luahku.
     Aimi terdiam. Tidak pernah melihat aku menangis dan bercakap sebegitu.
     Aku menyambung lagi, “Cukuplah. Kita perbetulkan apa yang salah. Kau jangan jadi macam aku. Kesal tak sudah. Tolong lepaskan aku untuk menghadapi Ramadan kali ini dengan tenang. Tanpa mesej dan panggilan daripada kau.”
     “I kurang mengerti …,” ujar Aimi.
     Aku terus menempelak, “Kau akan mengerti bila tiba-tiba suami kau mati. Kau akan menyesal. Kau rasa berdosa. Aku tak mahu kau jadi macam aku. Masa masih ada. Kita haram untuk teman dan mesra.”
     Aimi terkedu. Kata-kataku menyentap jiwanya. Aku sangat berharap kami sama-sama diberi Allah hidayah. Aku tidak mahu terus berada dalam penyesalan yang sebal. Cukuplah hanya aku diuji dengan penyesalan yang tak sudah ini. Apa yang penting sekarang aku perlu bawa Aimi untuk balik ke pangkal jalan.
     Tidak lama kemudian Aimi menghilang. Aku mula mengemas barang-barang di atas meja. Cutiku sudah lulus. Aku harus pergi mencari Ramadan ini. Aku harus hilang dalam pengertian Ramadan sesungguhnya. Kerana aku tidak seperti hamba-hamba yang lain. Ramadan itulah mulanya dosaku berputik dan berbuah.
     Jikalau aku hilang dalam Ramadan hanya dengan Pencipta maka berbaloilah ia. Aku terus mengharap.
     Ya Rab, ampunilah aku.
     Fatima, maafkanlah aku.
     Anak-anakku, ayah minta maaf.

 
 
Advertisement