Anda di sini

Lagu Manis Gulapong menjadi bualan peminat

Advertisement

Fir Affandi bersyukur atas sambutan yang diberikan oleh peminat untuk single, video muzik terbarunya

Single dan video muzik terbaru Manis Gulapong nyanyian Fir Affandi dilancarkan pada Februari lalu.
Single dan video muzik terbaru Manis Gulapong nyanyian Fir Affandi dilancarkan pada Februari lalu.


KUCHING: Penyampai radio dan pempengaruh, Fir Affandi melahirkan rasa syukur atas sambutan yang diberikan oleh peminat untuk single dan video muzik terbarunya, Manis Gulapong. 

Fir Affandi atau nama sebenarnya Firdaus Affandi, 35, berkata, beliau tidak menyangka lagu Manis Gulapong menjadi bualan peminat.

Sejak dilancarkan pada penghujung Februari lalu katanya, rata-rata peminat memberikan reaksi yang positif dan menyukai lagu tersebut.

“Rata-rata peminat menyukai lagu tersebut yang disifatkan sesuai dengan rakyat Sarawak.

“Peminat juga kagum dengan video muzik bertema komedi yang mencuit hati,” katanya dalam kenyataan.

Fir berkata, lagu Manis Gulapong ditulis dalam bahasa Melayu Sarawak dan dicipta sepenuhnya oleh komposer dari Sarawak Sudirsobri Musar atau nama penanya ‘pohc’.

“Lagu Manis Gulapong mengisahkan tentang jejaka yang jatuh cinta dengan seorang wanita cantik dan ingin melamarnya menjadi teman hidup.

“Lagu yang bergenre pop etnik kreatif dan berbahasa Melayu Sarawak itu dicipta di Kuching dan mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan,” katanya.

Menurutnya, muzik video telah dirakamkan di Rumah Warisan, yang terletak di Jalan Muda Hashim oleh pengarah berbakat, Ain Shuhada dari Qavalore Sdn Bhd.

“Manis Gulapong adalah lagu rakyat Sarawak yang sesuai dinyanyi dan digunakan untuk tarian poco-poco oleh semua orang terutama di majlis keramaian. Saya harap lagu ini akan menjadi 'evergreen' sampai bila-bila," ujar Fir.

Manis Gulapong diterbitkan oleh syarikat Sudiz Resources mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan My Creative Sdn Bhd.

Single itu akan menjadi salah satu lagu dalam projek Tiga Suara Kenyalang yang akan menampilkan tiga artis tempatan dari Sarawak.

Manis Gulapong juga terdapat di semua saluran penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music dan Joox.

Terdahulu, Fir yang merupakan anak Melayu, pernah mencipta nama sebagai peserta rancangan realiti Akademi Fantasia musim ke-9.

Dia kemudian mengorak langkah sebagai pelakon dalam drama 7 Ramadan, Berselindung di Sebalik Kaabah dan Hantu Susu.

Selepas itu, dia memilih untuk kembali ke tempat kelahirannya, Kuching dan menjadi penyampai radio sehingga kini.

Advertisement