Anda di sini

SMK Tarat bakal mempunyai dewan baharu

Advertisement


Kelewatan penyiapan projek bukan disebabkan KPM tetapi syarat tertentu ditetapkan agensi lain di peringkat persekutuan

Sagah (dua kiri) bersama yang lain semasa majlis pecah tanah bagi projek Dewan SMK Tarat yang baharu. - Gambar Galileo Petingi
Sagah (dua kiri) bersama yang lain semasa majlis pecah tanah bagi projek Dewan SMK Tarat yang baharu. - Gambar Galileo Petingi

SERIAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tarat di sini, bakal mempunyai dewan baharu tidak lama lagi selepas projek yang bernilai RM350,000 itu tertangguh selama dua tahun.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kelewatan penyiapan projek yang diluluskan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) itu bukan disebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tetapi syarat-syarat tertentu ditetapkan agensi-agensi lain di peringkat persekutuan.

Beliau menambah, kerja-kerja menyiapkan projek itu dipercepatkan susulan pertemuannya dengan Menteri Pendidikan persekutuan Fadhlina Sidek bulan lepas.

Menurutnya ketika pertemuan itu, Fadhlina memaklumkan kementeriannya telah menurunkan beberapa kuasa kepada Jabatan Pendidikan Negeri bagi meluluskan projek-projek sekolah.

"Ini adalah sebahagian daripada rundingan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan saya dengan gembira mengatakan semasa mesyuarat ketiga dengan Fadhlina pada 22 Februari lalu, beliau membawa berita gembira, iaitu KPM telah menurunkan beberapa kuasa kepada Pengarah Pendidikan Negeri.

“Memadai saya katakan, untuk projek RTP pengarah boleh memberi laluan pada kali ini,” katanya ketika berucap pada pertemuan dengan pihak sekolah di sini semalam.

Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat berkata kerajaan negeri akan terus memperjuangkan autonomi pendidikan termasuk pindaan ke atas Akta Pendidikan 1996 dan Perlembagaan Persekutuan.

"Projek ini akan bermula hari ini (23 Mac 2024) dan saya berharap kontraktor dilantik dapat menyiapkannya. Saya juga mahu melihat ia disiapkan untuk manfaat pelajar di sekolah ini," tambahnya.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah bagi projek berkenaan, Sagah berkata pembinaan dewan baharu itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan, pada masa sama berharap ia dapat disiapkan lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

"Kontraktor telah diberi masa selama enam bulan oleh JKR (Jabatan Kerja Raya) Sarawak untuk menyiapkan projek ini, (tempoh) yang saya rasa munasabah.

"Jika ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang masalah berlaku, projek itu dapat disiapkan lebih awal daripada itu,” ujarnya.

Advertisement