Anda di sini

Bahasa Melayu di Jepun: Koleksi Nadir dan Retrospeksi 

Advertisement
 
 


(Bahagian 2)
Oleh: Muhammad Qhidir Mat Isa

Buku Pelajaran pada Perang Dunia Kedua
Sebagaimana dilihat dalam buku Uehara di atas, suasana militarisme tercermin pada buku-buku pelajaran bahasa Melayu. Judul buku pelajaran menunjukkan hal itu secara jelas. Misalnya, Daitoa Kyoeiken Nichiyougo Hayawakari (1942) (Lekas Mengerti Percakapan Sehari-hari dalam Kawasan Makmur Asia Raya), Hyojun Uehara Mare-go (1942) (Bahasa Melayu Standard Uehara) oleh Uehara dan Pan Gun-Yo Mare-Go Kaiwa (1942) (Percakapan Bahasa Melayu Militer Umum) oleh Seido Miyatake. 
     Didapati kata-kata berbentuk militarisme yang banyak dipakai untuk judul-judul ini seperti “terbaru”, “terkini”, “cepat faham”, “cepat belajar” dan “praktikal”. Penulis dan penerbit dalam mukadimah mengatakan, “... buku ini memenuhi keperluan masa dan memahami bahasa Melayu dengan cepat dan secara praktikal.” Bahasa Melayu yang diajarkan dalam buku-buku itu kebanyakannya ialah bahasa Melayu yang dituturkan di Indonesia. 
     Pada tahun-tahun ini terdapat beberapa buah buku yang menarik perhatian, iaitu buku untuk belajar bahasa Melayu dalam persuratkhabaran. Misalnya, Mare-go Shinbun no Yomikata (Cara Membaca Akhbar Bahasa Melayu), Saishin Marai-go Jibun Shishin (Pedoman Bahasa Akhbar Bahasa Melayu Terbaharu) susunan Uehara, dan Jiji Marai-go Kenkyu (Penelitian Bahasa Akhbar Bahasa Melayu) oleh Ken’ie Sonoda, seorang lulusan Akademi Bahasa-bahasa Asing Tokyo. 
     Apabila Jepun giat melancarkan penjajahan dan serangan ke atas Tanah Melayu dan Singapura pada tahun 1940-an, bahasa Melayu merupakan kunci utama kepada maklumat tempatan, kegiatan perisikan serta yang lebih penting sebagai propaganda berita dan slogan pemerintah kolonial Jepun seperti “Asia Untuk Orang Asia”. Antara medium sebaran akhbar propaganda adalah seperti Malai Shinpo dan Syonan Shinbun. Ini dibantu lagi sebagaimana yang telah disebutkan, iaitu jumlah penerbitan buku pelajaran, buku perbualan dan buku bacaan pada tahun 1942 yang jumlah setahun ini melebihi tiga kali ganda (Moriyama, 2023). 
     Menurut Moriyama lagi, perancangan penerbitan buku-buku tersebut yang sebenarnya sudah dimulai sebelum tentera Jepun menyerang Pearl Harbor di Hawaii dan memasuki Semenanjung Tanah Melayu. Kerajaan dan masyarakat Jepun sudah siap untuk “mara ke wilayah selatan” jika dilihat daripada persiapan penulisan dan penyusunan buku-buku itu. 
     Meskipun begitu, Jepun tidak mempunyai masa dan kekuatan lagi terutama untuk mengekalkan propaganda apabila setelah berhasil menjajah Tanah Melayu dan Indonesia pada tahun 1942. Oleh sebab itu, tidak banyak lagi buku-buku pelajaran dan perbualan diterbitkan setelah tahun 1942. Apalagi pada tahun 1945 apabila sudah hampir tidak ada penerbitan kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian. Perlu dicatat juga bahawa penerbit-penerbit buku pelajaran bahasa Melayu pada masa itu berlainan daripada masa sebelumnya. Penerbit-penerbit yang mempunyai hubungan rapat dengan dasar pemerintah dan tentera pula menerbitkan buku-buku masing-masing. Misalnya, Persatuan Pembangunan Asia Raya, Perkumpulan Persaudaraan Beladiri Negara, Persatuan Pembangunan Asia, dan surat khabar Aikokusya (surat khabar Cinta Negara) menerbitkan sekurang-kurangnya enam buah buku. Jumlah penerbit berwajah militarisme sekurang-kurangnya berjumlah lapan buah. Penerbit-penerbit ini menyiapkan buku pelajaran dan buku perbualan demi menjalankan pendudukan yang efektif. 
     Walau bagaimanapun, tidak semua kandungan buku dan kamus berbaur militarisme dan kolonialisme. Sebahagian buku menyampaikan ilmu bahasa Melayu. Misalnya, buku bacaan bahasa Melayu dalam huruf Jawi yang disusun oleh Eizaburo Sato telah diterbitkan pada tahun 1943. Pada tahun 1944 diterbitkan juga buku bacaan Seito Marai-go Dokuhon (Buku Bacaan Bahasa Melayu Yang Sebenar) yang disusun oleh Amir Hasan. Dinilai dari segi penerbitan pada masa perang itu, sebenarnya terdapat sejumlah orang Jepun yang belajar bahasa Melayu dengan bersungguh-sungguh walaupun mereka berada dalam situasi perang. 

Kesimpulan
Penelusuran sejarah perkembangan bahasa Melayu di Jepun telah difahami dari beberapa aspek seperti faktor keperluan perindustrian masyarakat perniagaan Jepun di Nanyo dalam sektor getah dan bijih besi, dan kemudiannya berlanjutan dengan militarisme bermula pada tahun 1930-an sehingga berakhirnya Perang Dunia Kedua. 
     Hakikatnya, sejarah perkembangan bahasa Melayu di Jepun mencerminkan fungsi bahasa-bahasa asing dalam membantu gerakan Revolusi Meiji. Menariknya, berdasarkan beberapa catatan yang ditemukan, ternyata banyak lagi persoalan hubungan tamadun Jepun-Melayu yang masih belum terjawab seperti catatan Yosaburo Takekoshi. Salah satu kesimpulan yang boleh dipersetujui adalah tentang dasar ekonomi, dasar luar serta pemikiran masyarakat Jepun yang sangat positif mengenai peri pentingnya mempelajari bahasa asing beriringan bahasa ibunda. 
     Perkembangan bahasa utama dalam kalangan masyarakat Jepun bersifat sangat dinamik dengan pengaruh antarabangsa. Umumnya, bahasa asing utama antarabangsa ketika itu ialah bahasa Inggeris semenjak abad ke-19. Pun begitu, pada awal era pemulihan Meiji, bahasa asing yang utama ialah bahasa Belanda yang merupakan satu-satunya bahasa komunikasi dengan orang asing. Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing lain seperti Jerman, Sepanyol dan Perancis mula berkembang pesat pada tahun 1930-an. Ini termasuklah bahasa-bahasa Asia seperti bahasa Korea, Thailand dan Melayu. 
     Meskipun begitu, berlainan dengan bahasa Cina yang hubungannya dengan peradaban Jepun jauh lebih lama sebagai bahasa asing terpenting di Jepun sejak abad ke-7 lagi. Kedudukan yang istimewa ini berlandaskan hubungan sejarah, ekonomi, budaya, politik termasuklah persahabatan dan peperangan Sino-Jepun yang silih berlaku. Menariknya, kedudukan ini berubah semasa Perang Dunia Kedua, iaitu digantikan dengan bahasa Melayu menjadi bahasa asing utama selari dengan dasar Nanshin Ron. Bahasa Inggeris pada ketika itu pula dilarang sama sekali penggunaannya kerana dianggap bahasa musuh.
     Sekali lagi kedudukan ini berubah apabila tamatnya Perang Dunia Kedua. Kekalahan Jepun kepada Pihak Bersekutu, Amerika Syarikat, meruntuhkan sama sekali sistem politik dan ekonomi Meiji termasuk sebahagian besar sistem budaya. Hal ini membawa masuk bahasa Inggeris Amerika yang tentunya menjadi mata pelajaran paling utama di sekolah menengah rendah sementara bahasa-bahasa Eropah dan Asia seperti bahasa Melayu kekal diajar di peringkat universiti. 
     Penjajahan Pihak Bersekutu yang mewujudkan Heiwa-Kenpo (Perlembagaan Keamanan), mengehadkan autonomi maharaja, memecahkan sentralisasi konglomerat ekonomi dan industri Zaibatsu-Meiji, memerdekakan wilayah-wilayah luar, membentuk sistem demokratik Hepburn-Kokkai (Diet Kebangsaan) serta memaksa penghapusan ketuhanan maharaja dengan Humanity Declaration (1946) merupakan antara perubahan besar yang berlaku.
     Tambahan, pada tahun 1940-an dan 1950-an, di bawah Perdana Menteri Shigeru Yoshida daripada sayap politik liberal, hubungan Jepun-Amerika dan negara-negara barat yang bertambah erat membolehkan ekonomi dan kewangan Jepun pulih mendadak. Faktor seperti pemindahan teknologi industri dari Barat, ekonomi tertutup, jaminan ketenteraan Amerika Syarikat, pengimportan bebas dengan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat kemudiannya mempengaruhi bahasa Inggeris Amerika menjadi bahasa rasmi kedua dan bahasa pengantar pengajian tinggi. 
     Namun, seperti negara-negara terjajah lain, dilema bahasa kebangsaan dan bahasa asing menjadi isu politik yang hangat. Beberapa orang tokoh nasionalis bahasa seperti Hisashi Inoue dalam artikelnya “Nihongo Kyoushitsu” (2011) membangkang keras bahasa Inggeris terus diwajibkan pada peringkat sekolah rendah. Namun disebabkan oleh penurunan mendadak pencapaian pelajar dalam ujian bahasa Inggeris TOEC, TOEFL serta keputusan mengejut, iaitu sebanyak 63.1 peratus pelajar sekolah menengah mendapat markah kosong bagi ujian lisan, Kementerian Monka-sho (Kementerian Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi) kekal mewajibkan mata pelajaran bahasa Inggeris bagi darjah lima dan enam di sekolah rendah. 
     Kelompok nasional menggunakan slogan seperti “Bahasa Ibunda Bukan Alat Melainkan Semangat Sendiri” yang diutarakan oleh seorang sasterawan dan novelis terkemuka Jepun, Hisashi Inoue (2011). Ujar beliau, bahasa asing kedua dan ketiga sesuai sebagai wahana komunikasi, namun bahasa ibunda atau bahasa pertama ialah semangat bangsa Jepun yang megah dan agung. Oleh sebab itu, bahasa ibunda tidak boleh diabaikan tetapi perlu diperkukuhkan dengan sungguh-sungguh. Anak-anak dapat berfikir dan menjadi kreatif hanya dalam bahasa ibundanya sendiri. 
     Profesor Emeritus, Masahiko Fujiwara, nasionalis dan penulis buku terkenal Kokka no Hinkaku (2020) (Maruah Bangsa) pula berpandangan, “Kata-kata dalam bahasa ibunda ialah pemikiran dan perasaan”. Dalam eseinya, Eigo Kyouiku Ga Kuni O Horobosu, beliau menjelaskan bahawa masyarakat Jepun hakikatnya mampu berfikir secara logik dengan memakai bahasa ibunda dan mengemukakan perasaan secara mendalam dan luas dengan kata-kata bahasa ibunda. Kedua-duanya bersetuju bahawa, pendidikan bahasa Jepun harus diutamakan di sekolah rendah supaya kemampuan berbahasa ibunda anak-anak menjadi lebih matang dan mapan sebelum bahasa asing seperti bahasa Inggeris diajarkan.
     Berlainan pula dengan kelompok liberal seperti Yoichi Funahashi (2000). Sebagai seorang pemikir dan kolumnis akhbar Asahi, beliau dalam artikelnya “Aete Eigo Kouyougo Ron” berpendirian bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa global sehingga tidak hanya kaum elit yang mampu menguasainya, tetapi kebanyakan orang Jepun perlu berbahasa Inggeris. Kelompok ini berpendapat bahawa terdapat keperluan mendesak untuk seawal mungkin bahasa Inggeris diajarkan kepada anak-anak supaya mereka mempunyai asas yang baik untuk dikembangkan dalam global. 
     Pertentangan antara dua kelompok ini intinya sama sahaja dengan fenomena yang berlaku di negara terjajah lain seperti di Malaysia. Nasionalis beranggapan bahasa ialah identiti bangsa. Bahasa adalah “suara” yang menjadi simbol keberadaan sesebuah bangsa. Yang nyata, usaha Jepun menyamatarakan bahasa Inggeris dan bahasa kebangsaan dalam konteks pendidikan ternyata masih belum berkesan meningkatkan kefasihan pelajar-pelajar Jepun (Moriyama, 2023). Mungkin sama sahaja seperti di Malaysia dengan pengalaman isu PPSMI. Bak kata Profesor Dr. Awang Sariyan, “Lain luka, lain yang dibebat.”

Rujukan
Abdul Rani Haji Abdulah, 1927. “Kahadapan Majlis” dlm. Junzo Hiraoka dan Bachee bin Wanchik, Marai-Nihongo Jiten (Kamus Bahasa Melayu-Jepun). Taipei: Nanyo Kyokai Taiwan Shibu. 
Asakura, S. dan Tokugawa Y., 1937. Marai-go Yonsyukan (Bahasa Melayu dalam Empat Minggu). Tokyo: Daigakusyorin.
Department of Malaysian Studies, Tokyo University of Foreign Studies, 2004. “Apa macam? (Doo chousi wa?) Marai-go kara Malaysia-go e” dlm. Series a history of our department, No. 17, Tokyo Gaigo-kai Kaihou, No. 100, hlm. 1-4. 
Fujiwara, M., 2020. “Eigo kyouiku ga kuni o horobosu” dlm. Bungei Syunjyuu Digital January 2020 Issue.
Funahashi, Y., 2000. Aete Eigo Kouyougo Ron. Tokyo: Bunsyun Bunko.
Goto, K., 2012. “Tonan Azia kara mita kin gendai Nihon: “Nanshin”, senryou, datsuyokuminchi wo megugu rekishi ninshiki. Tokyo: Iwanami Shoten.
Hiraoka, J. dan Bachee bin Wanchik, 1927. Marai-Nihongo Jiten (Kamus Bahasa Melayu-Jepun), Taipei: Nanyo Kyokai Taiwan Shibu.
Inoue, H., 2011. Nihongo Kyoushitsu. Tokyo: Shinchosya.
Miyatake, S., 1942. Mare-go (Dai Toua Gogaku Soukan). Osaka: Asahishinbunsya. 
Moriyama, M., 2009. “Lord Hunting Tiger and Malay Learning in Japan Before the War” dlm. Mary Kilcline Cody dan Jan van der Putten (ed.), Lost Times and Untold Tales from the Malay World, hlm. 54-65. Singapore: Singapore University Press.
Moriyama, M., “Sejarah Perkembangan Pembelajaran Bahasa Melayu di Jepun” dlm. WILAYAH: The International Journal of East Asian Studies, 12:2, hlm. 3-22, 2023.
Ochi, T., 1923. Manichi Jiten (Kitab Kamus Bahasa Melayu-Jepun). Taipei: Taiwan Branch Of The Association Of The Southern Region. 
Sakata, S., 1912. Manichi Taisyou Nanyou Goi (Daftar Kata-kata Nanyo Bahasa Melayu-Jepun Bandingan). Tokyo: Ikueisya. 
Takekoshi, Y., 1912. “Jo” dalam Seijiro Sakata, Manichi Taisyou Nanyou Goi (Daftar Kata-kata Nanyo Bahasa Melayu-Jepun Bandingan). Tokyo: Ikueisya.
Tochi, G., 1943. Hyojun Malay-go Dai Jiten (Kamus Besar Bahasa Melayu Standard), Tokyo: Hakubunkan.
Uehara, K., 1942. Hyojun Uehara Mare-go (Bahasa Melayu Standard Uehara), Vol. 4. Tokyo: Seinansha.

 
 
Advertisement