Anda di sini

Toyol dan Lelaki Tua yang Nazak

Advertisement
 
 

Oleh: Abang Median Abang Said

SEMUA orang mengetahui bahawa lelaki tua yang nazak itu adalah ayahmu. Kau tidak akan mampu menafikan kenyataan tersebut. Siapa yang tidak mengenalinya di pulau tersebut? Siapa? Nafasnya yang tersendat-sendat dengan tubuh jerging meronakan warna pucat pada wajah. Nafas yang terbata-bata. Bau nanah kering dan air kencing yang hancing sukar untuk dipisahkan daripada dirinya. Bau yang mahing. Tidak lama lagi dia akan mati – kata-kata mak cikmu dengan cermin mata yang menenggel di batang hidung cukup melukakan dirimu. Adakah itu merupakan satu doa? Kau tidak terkejut dengan kenyataan tersebut. Tetapi kata-kata diucapkan dengan agak kasar. Langsung tidak berkias. Siapa yang tidak tahu? Memang setiap makhluk akan menemui kematian. Tapi perihal kematian bukan satu-satu perkara yang menyebabkan fikiranmu berkelana mencari realiti. Kepalamu terasa berat. Bahu persis memikul berat beban yang tidak tertanggung. Tubuhmu sedikit menggeletar. Suaramu juga dikesan mempunyai ketar. 

     “Toyol miliknya akan bertukar tangan. Kaulah pewarisnya. Semua itu akan menjadi milikmu.” Kata-kata itu persis mitos yang sukar untuk kau percayai. Kata yang absurd untuk difahami biarpun diucapkan secara polos. Mata yang termenung. Hakikat yang cuba direnung. Ada kekhuatiran yang merambat – merayap sehingga ketenangan rasa menggelepar. Kau tidak mahu menjadi tuan kepada toyol tersebut. Kau berasa sangsi untuk memelihara toyol yang berbadan hijau itu. Kau takut, jikalau toyol itu tidak mengenali tuannya dan menggigit dirimu suatu ketika nanti. Kesialan itu bukan perkara mustahil. Kau tidak mahu menjadi seperti ayahmu – seorang ketua masyarakat yang dibenci dan sering dicaci. Salah satu puncanya disebabkan oleh toyol itu. 

     “Apa yang kau khuatirkan? Mewarisi pemilikan toyol itu persis mewarisi kekayaan dan kemewahan. Toyol itu akan mencari wang untuk kesenanganmu.”

     Kau membiarkan kata-kata mak cikmu itu seperti puputan bayu yang berlalu. Tidak ada sesuatu pengetahuan yang baharu. Angin yang menggusarkan. Angin yang menggoncang ketenangan. 

     Kenangan masa lalu ayahmu melilau dalam minda, meninggalkan resah dan gelisah – kisah bagaimana pemilikan pulau yang menempatkan kampung kediamanmu dan kesedihan yang meruntun dalam jiwa masyarakat yang rawan. Toyol itulah yang mencuri geran-geran tanah penduduk kampung. Toyol itu jugalah yang membuat onar dan gempar di kampung sebelah sehingga anak-anak gadis berasa tidak selamat untuk menetap di kampung berkenaan. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk menjual tanah-tanah milik bumiputera dengan harga yang murah. Semua terjual dan tergadai termasuk jati diri dan maruah sehingga merempat di tempat sendiri. 

     Kau bukanlah pendengar yang baik. Kau tidak mahu mengetahui dan belajar tentang sejarah. Sejarah bagimu adalah satu keperitan yang menikam dari dalam. Ada sejarah yang sengaja diputarbelitkan mengikut keperluan dan kehendak seperti yang dilakukan oleh pihak barat. Sejarah yang memanipulasi. Ada pejuang yang ditohmah sebagai petualang. Ada penyangak yang dikatakan berotak dan berakhlak. Ah, begitulah … angka yang dikatakan tidak pernah menipu! Akhirnya angka yang berdusta. Kau pula tidak mahu mengulangi sejarah yang telah dilakukan oleh ayahmu. Tapi bagaimana kau tidak mengulangi sejarah itu jikalau kau mewarisi toyol yang dipeliharanya? Biarpun kau mensinonimkan toyol itu dengan tolol.

     Kau mendapat tahu daripada mak cikmu bahawa ayahmu pernah mengecewakan golongan muda suatu ketika dahulu. Wajahnya penuh dengan karisma dan wibawa. Bicaranya memukau persis layar wayang gambar yang menyerlahkan warna dalam ruang yang gelap-gelita. Toyol peliharaannya yang akan masuk ke dalam ruang tidur dan mimpi. Yah, mimpi yang menyeringai! Mimpi yang bertukar menjadi igauan ngeri. Dalam keadaan tidak sedar, toyol peliharaan itu telah mencuri hati dan jiwa golongan yang terpukau dengan penampilan luaran ayahmu. Bukankah mencuri itu merupakan kepakaran toyol berkenaan? 

     Kau pula sewaktu kecil sering bermimpi dikejar burung gagak yang kelaparan. Kau berteriak apabila dipatuk oleh burung gagak. Burung gagak yang mengepak sehingga kau berteriak dengan suara serak. Apabila kau terengah-engah bangun daripada tidur, kau terkejut melihat toyol menyelinap ke loteng dari bilikmu. 

     “Aku tidak mahu mewarisi toyol tersebut. Iman seseorang bukan untuk diwarisi. Jadi … mengapa kejahatan itu perlu diperturunkan dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi?”

     Ayahmu dikatakan bukan orang tempatan. Namun dia tidak pernah mengaku dirinya berasal dari luar. Ayahmu akan memutar cerita. Semua tahu, dia bukan berasal dari pulau yang didudukinya sekarang. Dia merupakan seorang pelarian sebelum terdampar di pulau tersebut setelah tongkang yang dinaikinya terbalik dibedal ribut. Di atas kayu kapal yang pecah, dia berpaut. Laut bergelora dengan awan yang berkabut. Kehadirannya persis laut pada musim tengkujuh menyebabkan kehidupan di pulau itu terus berkocak. Kehadirannya persis kabut kelabu tatkala kehidupan menjadi kian suram. Ada hasrat untuk menghantar pulang pelarian ke negara asal pada masa itu. Tetapi hasrat itu tidak dapat dilaksanakan berdasarkan prinsip non-refoulement yang diterima meluas sebagai undang-undang antarabangsa kerana dikhuatiri pelarian berkenaan akan dianiaya atau diseksa di negara asal mereka. Akhirnya ayahmu mendapat kad UNHCR. Lantas ayahmu dianggap sebagai warga tempatan apabila berkahwin dengan ibumu yang berstatus bumiputera. Akhirnya, dia jugalah yang menganiaya golongan berkenaan dengan toyol peliharaannya. 

     Jikalau ditanya dengan golongan cendekiawan di pulau tersebut, ada yang mengatakan bahawa ayahmu tidak boleh dipersalahkan atas apa-apa isu yang kurang menyenangkan. Dia pada mulanya tinggal di kawasan bukit yang berhampiran dengan pantai. Memang dia telah menceroboh kawasan tersebut umpama penempatan haram di Sao Paulo, Brazil atau setinggan di Mexico City, Mexico. Selepas itu, penempatan itu semakin berkembang umpama perkampungan atas air yang banyak dibina warga asing di perairan Sabah. Situasi itu jugalah yang menimbulkan masalah di kawasan berkenaan. Masalah sosial berleluasa. Ayah kau telah membuat penempatan haram dengan menceroboh tanah rizab hutan paya bakau dengan titian papan dibina menghubungkan di antara rumah di situ hingga ke jalan utama kampung. 

     Ayahmu difahamkan telah membuka penempatan haram itu sejak akhir tahun 70-an di kawasan pesisir laut sebelum berkembang sehingga ke kawasan berbukit. Pada mulanya, ayahmu tidak mahu bercampur dengan orang tempatan. Selepas itu, barulah dia melibatkan diri dengan kegiatan ekonomi setempat dengan mencandat sotong dan berniaga sebelum terlibat dalam kegiatan politik dengan menjadi ketua masyarakat di pulau berkenaan. Dia jugalah yang membawa pendatang asing lain membuka penempatan di kawasan tersebut sehingga mempunyai pengaruh yang kuat. Kebanyakan penempatan di situ dibuat daripada papan dengan keadaan penempatan yang berselerak. Cuma sekarang, kehadiran pendatang asing itu tidak dapat dibezakan dengan penduduk tempatan. Malah ada yang sudah menjalankan perniagaan kereta sewa secara besar-besaran. 

     “Salah mereka juga. Penduduk asal kawasan ini, kebanyakannya malas sehingga semua peluang direbut oleh orang luar. Bukan hanya dari aspek ekonomi tetapi juga mencapah ke bidang politik. Mereka juga mudah percaya dan terpesona dengan kebolehan orang asing.”

     Kau tentu ingat kata-kata ayahmu itu. Kata-katanya itu sentiasa diulang-ulang setiap kali kalian minum petang di ruang taman yang mempunyai pergola yang indah. Tiang pergola itu dibuat daripada kayu meranti yang dicuri dari hutan simpan. Hutan itu pun sudah kian gondol sekarang sehingga menyebabkan banjir. Tidak ada akar yang mengikat aliran air lagi. 

     Cuma tidak ada sesiapa yang mengetahui, sejak bila ayahmu mula memelihara toyol. Adakah toyol itu bersama-samanya sewaktu datang dengan tongkang hanyut? Adakah kesesatan itu dibawa dari luar? Tidak ada siapa yang mampu menjawab soalan tersebut. Tidak ada. 

     Tidak semua juga yang membenci ayahmu. Toyol peliharaannya telah memainkan peranan sehingga dia juga mempunyai pengikut yang ramai. Generasi tua dan ada juga dalam kalangan remaja yang berusia 19 sehingga 21 tahun sering membicarakan kehebatannya di mana-mana: siaran langsung di TikTok, Youtube, Facebook, warung kopi, kilang-kilang, pejabat, dalam teksi termasuk di tempat-tempat ibadah. Ada yang mengatakan bahawa dia membayar pempengaruh dalam media sosial. Tentu daripada duit yang dicuri oleh toyol peliharaannya. Yang mereka bicarakan kira-kira seperti ini: seorang tokoh hebat telah dibawa oleh ombak yang merupakan kurniaan Ilahi untuk membawa kemajuan. Jangan bicarakan tentang kejahatan dan keburukannya. Lihatlah kepada jasa dan kebaikannya. 

     Ada pempengaruh mengatakan, “Jikalau benar dia mempunyai toyol, semua itu untuk kebaikan asalkan hasilnya diagihkan kepada masyarakat.”

     Pasti mereka cuba menyisihkan pertimbangan tentang halal atau haram. Mereka perlu patuh kerana mereka perlu patuh. Mereka perlu menyokong kerana itulah ketentuan yang mereka pilih tanpa sebarang alasan. Titik. Jangan ada sebarang pertikaian biarpun menekankan tentang kerasionalan. 

     Kau tentu tidak tahu bagaimana ayahmu mengenyangkan toyol peliharaannya. Kau perlu tahu perkara tersebut sebelum mewarisi toyol berkenaan. Kau mendekati mak cikmu dengan harapan-harapan di kepala yang hampir mirip danau di musim kemarau. Kering dan pecah-pecah. Kau mahu diselamatkan daripada toyol tersebut. Kau tidak mahu menghabiskan masa dengan cuba memenuhi permintaan toyol itu. Mak cikmu mengatakan bahawa toyol itu akan mengunyah wang kertas sebagai makanannya. Jadi jangan sesekali kau memberikan ayam atau ikan biarpun harganya melambung sejak kebelakangan ini. 

     Kau tentu tahu bahawa ayahmu merupakan pencerita yang hebat. Sejak dahulu, kau merasakan bahawa ada sesuatu yang silap dengan perbuatan yang dilakukan oleh ayahmu dahulu. Ada yang mengatakan bahawa ayahmu merupakan pendongeng yang bijak mengatur skrip lakonan atau cerita. Dia perancang yang bijak. Kau masih tidak tahu, bukan? Ya, daripada cerita-cerita dongeng itulah dia mengenyangkan toyol peliharaannya. Toyol itu akan berasa kenyang mendengar dongeng atau segala pendustaan yang dibuat. Maknanya, kau bukan hanya perlu mewarisi toyol tersebut tetapi perlu juga menjadi pendongeng yang bijak mengada-adakan cerita. Masyarakat suka dengan cerita-cerita bohong tersebut. Mereka akan mengangguk dan membenarkan segala pendustaan. 

     Kesihatan ayahmu semakin parah. Dia dalam keadaan yang nazak dengan mulut yang berbuih-buih serta tangan dan tubuh yang terketar-ketar. Mulutnya ternganga seperti cuba mencari nafas yang kian hilang. Pasti nafasnya berada di hujung rengkung. Dadanya berombak – turun dan naik. Matanya terbuka dan tertutup dengan kedutan yang begitu jelas. Kau tidak membawa ayahmu ke hospital. Ayahmu mahu menghembuskan nafas terakhirnya di rumah – di perkampungan haram yang telah dibangunkannya sehingga menjadi petempatan yang sah di sisi undang-undang. Ya, haram yang telah dihalalkan!

     Namun menurut mak cikmu, kematian ayahmu terhalang disebabkan kau masih belum bersetuju untuk mewarisi toyol tersebut. Hatimu masih keras. Pemikiranmu masih waras. Belum ada keputusan yang tuntas. 

     Ramai masyarakat dari segenap pelosok yang telah berkumpul di rumahmu. Semua ingin menziarahi ayahmu pada saat-saat akhir. Ada yang bersalam dengan tangan jergingnya untuk mendapatkan berkat. Mungkinkah masih mengharap imbalan projek atau sumber kewangan? Mata yang terpancar dari wajah-wajah pengunjung persis mengerdipkan kesangsian. Mereka masih mengharapkan keajaiban supaya ayahmu terus hidup. 

     Seteru-seteru ayahmu juga datang berziarah – tidak dapat ditebak apa yang berkelintaran dalam jiwa. Adakah ingin meminta maaf atas sebarang kutukan yang telah dilemparkan? Adakah doa yang dilafazkan untuk meminta supaya peralihan kuasa berlaku setelah kematian ayahmu? Adakah senyum yang tersungging adalah senyuman sinis yang memperlekehkan ayahmu yang sudah hilang kudratnya? Kau hanya menjadi pemerhati. 

     Cuma kau berasa hairan kerana sehari dua ini, kau tidak ada melihat toyol memanjat dan berkeliaran di loteng rumahmu. Dia menghilangkan diri. Ke manakah perginya toyol berbadan hijau itu? Adakah toyol itu pergi melakukan tugasan yang terakhir untuk tuannya? Minda: berbagai-bagai persoalan yang berlegar dan berputar?

     Golongan yang menentang ayahmu sudah ramai yang mengunjungi ayahmu. Yang peliknya, mereka datang bersama-sama orang kepercayaan ayahmu. Pakatan apakah ini? Ada sesuatu yang dibisikkan pada telinga lelaki tua yang sakarat itu sehingga mata ayahmu terbelalak. Mulutnya terkumat-kamit – ingin membicarakan sesuatu. Apakah yang cuba hendak disampaikan? Kau pula masih memikirkan tentang toyol peliharaan ayahmu yang belum lagi memunculkan dirinya. 

     Orang kepercayaan ayahmu membuka beg bimbit. Dia mengeluarkan kertas. Borang apakah itu? Dia juga memberikan pen ke tangan ayahmu yang tidak berkenyal. Tangan yang masih terketar tidak menyambut pen tersebut. Borang dan pen tidak diendahkan. Orang yang mengunjungi ayahmu berpandangan antara satu sama lain. 

     Kau pula masih menanti toyol. Toyol berwarna hijau. Di manakah keberadaannya? 

     Sebelum malam itu, kau mungkin sudah dapat menebak bagaimana kisah ini akan berakhir. Tebakan kau barangkali akan tersilap. Tebakan kau yang betul tentunya tentang kematian ayahmu di kampung yang telah dibangunkannya dengan kemasukan pendatang asing. Ayahmu yang membantu mereka menetap di pulau tersebut. Mereka jugalah yang menikam ayahmu dari belakang sehingga ayahmu mati sebelum mati. Pengikut ayahmu telah menonyoh ibu jari ayahmu pada borang persetujuan yang entah apa. Baru pada petang tadi, pengikut-pengikut ayahmu mengiringi pemergian ayahnya dengan senyum sinis.

     Yang pasti, kau terkejut melihat toyol ayahmu telah bertukar warna. Toyol itu datang menziarahi mayat ayahmu sebelum tengah malam. Yah, toyol itu tidak berwarna hijau lagi! Kau tersenyum. Toyol itu pastinya telah beralih arah. Toyol itu telah berwarna …

 
 
Advertisement